Berhentilah Menjadi Gelas

>> Wednesday, June 30, 2010


Aku seringkali membaca petikan-petikan mahupun blog-blog yang kutemui ketika melayari internet di pejabat. Selalunya bila boss tiada. He he...Kebiasaannya, artikel-artikel menarik yang kutemui akan kusimpan untuk rujukanku. Dan hari ini, kutemui satu kisah yang amat menarik untuk dihayati. Kesemuanya berkisar tentang kehidupan yang seringkali kita lalui. Moga ia mampu menjadi panduan untuk diriku dan sesiapa jua yang singgah di blog ini. Terimalah.....

Seorang guru mendatangi seorang muridnya ketika wajahnya kebelakangan ini selalu tampak murung.
“Kenapa kau selalu murung, nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu?” sang Guru bertanya.
“Guru, kebelakangan ini hidup saya penuh masalah. Sulit bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tak ada habis-habisnya,” jawab sang murid muda.
Sang Guru terkekeh. “Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah kemari. Biar kuperbaiki suasana hatimu itu.”Si murid pun beranjak perlahan tanpa semangat. Ia laksanakan permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang diminta.
“Cuba ambil segenggam garam, dan masukkan ke dalam satu gelas air itu,” kata Sang Guru. “Setelah itu cuba kau minum airnya sedikit.”Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini meringis kerana meminum airasin.
“Bagaimana rasanya?” tanya Sang Guru.
“Masin, dan perutku jadi mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih meringis.
Sang Guru terkekeh-kekeh melihat wajah muridnya yang meringis kemasinan.
“Sekarang kau ikut aku.” Sang Guru membawa muridnya ke danau di berhampiran tempat mereka. “Ambil garam yang tersisa, dan tebarkan ke danau.”Si murid menebarkan segenggam garam yang tersisa ke danau, tanpa bicara. Rasa masin di mulutnya belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin dari mulutnya, tapi tidak dilakukannya. Rasanya tak sopan meludah di hadapan mursyid, begitu pikirnya.
“Sekarang, coba kau minum air danau itu,” kata Sang Guru sambil mencari batu yang cukup datar untuk didudukinya, tepat di pinggir danau.
Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air danau, dan membawa ke mulutnya lalu meneguk. Ketika air danau yang dingin dan segar mengalir di tenggorokannya, Sang Guru bertanya, “Bagaimana rasanya?”
“Segar, segar sekali,” kata si murid sambil mengelap bibir dengan punggung tangannya. Tentu saja, danau ini berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air danau ini juga menghilangkan rasa asin yang tersisa di mulutnya.
“Terasakah rasa garam yang kau tebarkan tadi?”
“Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi. Sang Guru hanya tersenyum memperhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air danau sampai puas.
“Nak,” kata Sang Guru setelah muridnya selesai minum. “Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah dikadar oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, begitu-begitu saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah.”
Si murid terdiam, mendengarkan.
“Tapi Nak, rasa `masin’ dari penderitaan yang dialami itu sangat tergantung dari besarnya ‘qalbu’(hati) yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak merasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan qalbu dalam dadamu itu sebesar danau.”

Read more...

Boss!

>> Monday, June 28, 2010


Suatu waktu dahulu aku ditempatkan di bahagian yang memerlukan aku selalu berjumpa kontraktor, konsultant, jurukur, arkitek dan jurutera. Tugas di bahagian tersebut memerlukan aku selalu melawat kawasan projek sama ada di semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak setiap bulan. Memang seronok dapat berjalan secara 'free'. Semua perbelanjaan ditanggung kerajaan. Tetapi, bila kontraktor buat hal, kerja-kerja lambat jadual dan macam-macam masalah timbul, lawatan tapak diibaratkan sebagai mimpi ngeri!. Terasa darah naik ke kepala. Ha ha...

Suatu hari aku mendapat surat pertukaran dalaman. Aku diarahkan untuk memulakan tugas di Bahagian Promosi. Terkedu aku. Aku sayangkan tugasku di tempat lama. Namun apakan daya, saya yang menurut perintah. Segala-galanya amat asing di bahagian baru. Bos baru pulak agak pelik. Ideanya tak pernah padam. Daripada difikirkan logik sampaikan tak masuk akal. Dia pulak suka sangat melaung nama kami dari biliknya. Di bahagian ini aku mempunyai 2 orang rakan sekerja iaitu Mariam dan Kak Mona sebelum digantikan dengan Kak Wani. Bos baruku ini selalu sangat 'membiarkan' aku sendirian, terutamanya bila ada mesyuarat sama ada di dalam atau luar pejabat. Sudah banyak mesyuarat terpaksa aku tempuh berseorangan apabila dia menghantar mesej ketidak hadiran beliau di saat-saat akhir.


Pernah suatu ketika, kami akan menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak di Sabah, Sarawak dan Labuan selama seminggu. Dalam jangka masa 15 minit sebelum kapal terbang berlepas, beliau menghantar SMS memaklumkan kepadaku yang dia tidak dapat turut serta. Huh!..apa aku nak cakap dalam mesyuarat?. Macam mana aku nak layan pegawai-pegawai atasan semasa di sana nanti?. Sebenarnya banyak kejadian sedemikian berlaku kepadaku. Lama-kelamaan, aku lali!. Ha..ha...Jadi aku sentiasa menganggap aku akan keseorangan untuk menghadiri mesyuarat, walaupun dia bersungguh-sungguh menyatakan yang dia akan turut serta. Jadi aku akan sentiasa mempersiapkan diriku. Namun begitu, dia seringkali menghubungiku bertanyakan keadaan mesyuarat dan lawatan tapak setiap kali dia membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir.


Mei 2010, aku mendapat berita beliau akan bertukar ke Jabatan asal beliau. Sebelum ini sudah 3 kali beliau menolak tawaran kenaikan pangkat. Aku cemas. Dan akhirnya, ia menjadi kenyataan. Beliau benar-benar bertukar. Aku dan Mariam amat sedih. Bagiku dialah bos yang terbaik pernah kutemui di sepanjang perjalanan kerjayaku. Dia bukan sahaja seorang bos, malah menjangkau seorang teman akrab, abang, pakcik, dan juga seorang ayah. Setiap sudut kehidupanku ada dirinya. Sememangnya beliau seringkali 'membiarkanku' sendirian, namun kutahu dia sengaja berbuat sedemikian. Itulah caranya beliau membentuk aku untuk menjadi seorang pegawai yang berketrampilan. Kehilangannya amat dirasai. Beliau seorang yang tegas, peramah tetapi misteri, lucu, komited, bijaksana dan penuh dengan idea-idea yang mengejutkan. Pemikirannya mendahului zaman. Tidak keterlaluan jika boleh kusamakan beliau seperti gula-gula kegemaranku smarties, berwarna-warni. Aku kagum...


Sepeninggalannya, kami dinaungi oleh bos baru yang...mmmm....lepas tanganla kot. (Perkataan paling sesuai). Semua perkara kami uruskan, seolah-olah kami adalah bos. Kehadirannya sebetulnya menyulitkan keadaan kami. Dan ketika ini, baruku sedar kenapa Allah memberikanku kesempatan untuk berdepan dengan karenah bos lama. Seolah-olah ia merupakan satu tempoh pembelajaran untukku tempuhi alam yang sebenarnya. Dan buat En. Mus, kami merinduimu. Mungkin cetusan rasa rakanku Mariam, mampu mewakili apa yang sebetulnya kami rasa.


He, We & I

He
Our eyes to see the outside world
Our nose to smell anything fishy inside & outside d office
Our ears to listen to our injured heart
Our tongue to voice out our non-stop burble
Our hand to ease our work load
Our arms to protect us
Our shoulder to cry on
Our feet to keep us forward

We
Shared your laughter
Shared your smile
Shared your songs that always comes without lyrics
Shared your voice tone to call us 1 mile step
(mona, madir, hafizz, wanie, mariam from your door step)
Shared your unusual ideas
Shared your most imminent views
Shared your helpful guide on all aspects of life

And I
Thank you for your encouragement
Thank you for your endurance
Thank you for your concern
Thank you for always made our day

Last but not least, our HE, is the man that will always be our idol,

WE are wordless to say how grateful we are to experience the moments

and I personally thanks God to give me chance to know such a fantastic BOSS, FATHER, FRIEND, TEACHER etc that always turn us to the positive side of the life.
Thank you.

Goodbyes are not forever,
Goodbyes are not the end,
They simple mean we’ll miss you until we meet again.
See you En. Mus….

Regards from,
Mariam Zainal – 5 May 2010

Read more...

Allah dan Kasih Sayang

>> Sunday, June 27, 2010


Allah memperkenalkan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim sebagai sifat-Nya yang pertama kepada manusia. Kenapa sifat ini didahulukan dan dinyatakan kepada hamba-Nya? Agar hamba-Nya merasa tenang dan aman kerana Tuhan yang menciptanya mempunyai sifat-sifat yang begitu indah.

Allah menyuruh kita memperhatikan diri dan segala nikmat-Nya, supaya terpancar pada hati insan benih kasih sayang. Perhatikan kerdipan matamu, sinar matamu yang cantik, hembusan nafasmu, bunyian di telingamu, keenakan rasa di hujung lidahmu, keindahan susunan gigimu dan kedua bibir yang menutupnya, degupan jantung dan mengalirnya darah ke seluruh tubuhmu yang sempurna. Perhatikan sekelilingmu, keluarga, rakan-rakan dan alam. Mereka dicipta agar kamu tiada kesunyian di alam ini.


Sesungguhnya, manusia yang mengenal kasih sayang Allah tidak akan lemah dan kecewa. Ia tidak akan merasa sunyi walaupun seluruh manusia tidak menyayanginya, kerana ia tahu Allah menyayanginya. Allah tidak bersifat membenci hamba-Nya dan Dia sentiasa melimpahkan kasih sayangnya kepada hamba-hamba yang sentiasa merasa berhajat kepada-Nya.


Kepada manusia yang disekelilingnya penuh dengan pujian dan sanjungan orang lain, berhati-hatilah, belum tentu Allah menyayanginya. Apakah makna kasih sayang manusia jika Allah memurkai kita dan apakah makna kebencian manusia sedangkan Allah menyayangi kita?. Sifat pengampun-Nya terhadap apa-apa kesalahan yang dilakukan hamba-Nya, apabila hambaNya mahu keampunan, adalah menggambarkan keagungan kasih sayang-Nya, seolah Dia membisikkan, "Demi kasih sayang Aku kepadamu, Aku akan melupakan segala kesalahan yang engkau lakukan walaupun kelakuanmu benar-benar telah menimbulkan kemurkaan-Ku. Tetapi, apabila engkau datang dengan jiwa kekesalan dan memohon keampunan, hancur leburlah kemarahan-Ku kepadamu wahai hamba-Ku."


Lihatlah pada hukum-hakam-Nya, semuanya adalah gambaran kasih sayang Allah. Cuba perhatikan sifat fitrah insan. Jika sayang kepada sesuatu, pasti dia akan mengawasinya agar tidak rosak. Orang yang menyayangi kereta akan mencipta hukum untuk penjagaan kereta agar tidak rosak. Dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi menjaganya. Begitulah juga dengan ibubapa yang menyayangi anaknya, mereka akan melarang anaknya melakukan perkara yang kadangkala anak-anak itu tertanya-tanya dalam jiwanya, kenapa aku tidak dibenarkan melakukan ini dan itu.


Begitulah juga Allah dengan hamba-hamba-Nya. Kenapa Dia mengharamkan arak, judi? Kerana Dia tidak mahu akalmu rosak, isteri dan anak-anakmu hidup dalam ketakutan. Rumahtanggamu akan hancur, kehidupanmu tiada tujuan dan bercelaru. Kamu pula menjadi hamba kepada hawa nafsu yang membawamu ke dunia khayalan. Allah mengharamkan makanan yang membahayakan kesihatanmu, kerana Allah yang mencipta makanan dan Dia jua yang Maha Mengetahui tentang bahayanya kepada manusia. Dia mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, supaya perempuan tidak dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab, dan supaya lelaki tidak rosak pertimbangan akal fikirannya. Haram dan halal adalah lambang pengawalan Allah, pengawalan adalah lambang kasih sayang-Nya supaya hamba-Nya tidak dirosakkan oleh syaitan dan nafsu.


Manusia yang menjaga hukum Allah adalah manusia yang mendidik dirinya supaya bebas dari belenggu penderitaan menjadi tawanan nafsu dan syaitan serta alam ini, supaya dia mudah dan tenang ketika mahu meninggalkan alam ini. Di sana (alam akhirat) adalah tempatnya yang kekal abadi. Dalam hal ini, hanya mereka yang memahami rahsia kasih sayang Allah sahaja yang dapat memandang kenikmatan yang menantinya, lantaran mujahadah pada nafsunya ketika hidup di alam ini. Sesungguhnya amat besar kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya. Justeru, belajarlah menyayangi Tuhanmu untuk mendapat kasih sayang-Nya.

Read more...

Memilih Cinta

>> Thursday, June 24, 2010



Pagi ini aku terlewat bangun. Jam 6.30 pagi baru aku tersedar dari tidur. Gugup aku. Kebiasaannya jam 6.40 pagi aku sudah keluar dari rumah menuju ke pejabat. Silap aku juga, semalam aku melepak bersama rakan sehingga ke angka 12.00 tengah malam!. Sangat-sangat jarang dibuat. Aku bergegas ke bilik air mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh. Usai solat aku bertafakur di atas sejadah. Aku teringat untuk menghantar sms kepada rakan sejawatku memaklumkan kelewatanku. Alang-alang lewat biar lewat betul, kalau tidak aku terpaksa menempuh jalan yang amat sesak.

Petang semalam, aku minum petang bersama Abang Zaimi, rakan sejawatku. Macam biasa, bila bersamaku isu yang seringkali timbul adalah berkenaan perkhawinan. 'Kau nie bila nak kawin ?'. Itu adalah pertanyaan biasa untukku darinya. Aku macam biasa, senyum kambing!. Tak berperasaan. Tapi bila dia kata aku terlalu memilih, mukaku mula berkerut. Dia mula rancak memuntahkan butir bicaranya. Aku terima kata-katanya sebagai satu nasihat daripada seorang abang. ' Kau nie Madir, memilih sangat. Aku dulu sebelum kawin aku ada 5 orang mak we untuk dibuat pilihat terakhir. Aku tak hensem macam nie pun ramai orang nak, apalagi kau yang hensem. Perempuan bila dia tengok lelaki yang hensem macam kau nie, mesti dia takut nak dekat. Sebab tu kau kena main peranan. Nie tak, asyik berkurung dalam rumah. Tidur awal. Sesekali keluarlah bersosial. Janganlah asyik keluar ngan housemate saja. Keluar dalam kelompok yang ramai. Biasakan diri dengan perempuan'. Opssss...panas telingaku. Tapi sabar Madir. Hatiku berbisik menenangkan diri. Sememangnya kalau Abang Zaimi yang menegurku, aku pasti lebih banyak terdiam. Aku mencerna segala butir katanya, menyaring, kemudian kuambil mana-mana yang difikirkan perlu. Kuanggap ia sebagai kata-kata nasihat dari seorang abang.

Bicaranya tidak putus setakat itu. Dia menambah. 'Bila kau dah kawin, kau takkan ada masa nak fikir yang bukan-bukan selain daripada keluarga kau. Fikiran kau akan fokus pada anak-anak, isteri, keluarga sebelah kau dan keluarga sebelah mertua. Masalah-masalah kerja, kawan dah jadi masalah kecik yang kau tak perlu rungsingkan. Tapi sebelum kawin kau memang kena kumpul duit banyak-banyak. Kawin perlukan banyak duit. Tapi aku yakin kau nie mesti simpan banyak duit. Satu lagi, lelaki hensem macam kau nie, aku rasa mesti perempuan mintak hantaran banyak'. Pulak dah. 'Kenapa?'. Aku menyoal. 'Sebab nanti mesti bini kau takut kau akan kawin banyak, sebab mesti ramai perempuan suka kat kau. Jadi dia letak hantaran tinggi supaya kau sedar betapa susahnya nak kawin'. Lah....ke situ pulak dia. Aku nak tergelak pun ada. Apa-apalah Abang Mie.

Sejujurnya, demi Allah aku tidak pernah merasakan diriku seorang lelaki yang hensem. Sekadar sedap mata memandang. Ingin kunyatakan kepada semua yang menganggap diriku memilih, seandainya aku boleh meletakkan perasaan cinta kepada seseorang semudah meletakkan sesuatu barang yang diambil ke dalam beg, pastinya akan kulakukan. Siapakah insan di dunia ini yang tidak menginginkan teman istimewa yang akan menyokong perjalanan hidupnya?. Adakah insan di dunia ini yang sememangnya tidak memerlukan orang lain dalam kehidupannya?. Aku rasa tiada. Kalau ada pun, pastinya insan tersebut tidak normal sebagai seorang manusia.

Kehidupan kita di dunia ini ibarat pelakon di dalam suatu pementasan teater. Skrip sudah tersedia. Jalan cerita juga sudah dirangka. Kita tidak mempunyai pilihan yang banyak walaupun seolah-olah kita boleh memilih apa yang kita mahu. Sebahagian besar kehidupan kita sudah ditakdirkan, dan hanya sebahagian kecil yang kita tentukan. Itu pun melalui usaha dan pengabadian doa-doa kita kepada Allah. Andaikata, kita diberikan sepenuhnya ruang dan juga peluang untuk memilih kehidupan yang bagaimana kita ingin lalui, sudah pasti tiada insan yang memilih untuk derita!. Percayalah. Semuanya akan memilih kebahagiaan sebagai satu-satunya pilihan yang diingini. Namun kita manusia seringkali lupa, bahawa kita ini adalah insan yang lemah. Tidak sempurna. Kebahagiaan yang selalu dipilih sebenarnya adalah bersifat sementara. Kerana kita tidak mengetahui, lebih banyak derita yang tersirat di sebalik kebahagiaan yang kita pilih. Kerana itu, kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan tawakkal memohon keampunanNYA, agar diberikan kebahagiaan selamanya. Selebihnya biarlah Allah yang menentukan. Perjalanan hidup seharusnya biarlah berliku. Itu ketetapan. Biar berselang antara kesedihan dan kegembiraan. Kerna ia mampu untuk mendewasa dan mengingatkan kita manusia, sebenarnya adalah seorang hamba. Seorang hamba yang perlu sentiasa meminta daripada Tuhannya. Bebaskan pandangan dengan menikmati keindahan alam yang terbentang. Kawasan yang bergunung-ganang, ada lembah di antaranya, juraian air terjun yang mengalir ke sungai, pepohon yang rimbun dan dipenuhi dengan hidupan sememangnya menjadi pilihan berbanding tanah lapang yang kontang dan rata. Jadi kehidupan juga seharusnya begitu.

Berbalik kepada diriku. Aku ingin memiliki seorang isteri yang solehah, sedap mata memandang, daripada keturunan yang baik-baik, yang mampu untuk melengkapi kekurangan diriku dan seharusnya mampu menjadi ibu yang baik untuk anak-anakku. Agar kuburku nanti terang benderang dengan suluhan cahaya keimanan mereka. Episod pencarian cintaku belum lagi berakhir untuk kuserahkannya kepada wanita yang memiliki ciri-ciri yang kupilih. Aku memilih untuk mencari bahagia melalui ciri-ciri isteri yang kunyatakan, selari dengan saranan Rasulullah S.A.W.

Teman, adakah aku memilih cinta?.

Read more...

Memenangi Hati Wanita

>> Wednesday, June 23, 2010


Alhamdulillah....percubaanku untuk membuka blog di pejabat berjaya setelah beberapa kali berusaha. Jika sebelum ini, kebanyakan blog disekat dari dilayari. Tetapi entah kebelakangan ini, hampir semua blog dapat ditelusuri. Ditambah pula dengan bebanan kerja yang berkurangan kebelakangan ini. Alhamdulillah. Dan kerana itulah, hampir setiap hari aku mampu untuk memperbaharui kandungan blogku. Kalau di rumah, mata asyik mengantuk. Semangat untuk menulis padam. Sebab itulah bilikku sentiasa gelap selepas isyak berbanding rakan-rakan serumah yang lain. Ha ha..


Ok, hari ini aku ingin berkongsi tentang tips, petua ataupun panduan untuk si bujang. Aku lah tu. He he... Ia berkenaan cara-cara untuk memenangi hati wanita. Aku terjumpa panduan ini semasa aku melayari internet sedikit waktu dahulu. Mungkin sebelum ini ada di antara kita yang sudah puas bercinta, asyik bertukar-tukar kekasih, putus ditengah jalan dan sebagainya, mungkin panduan yang diberikan pada kali ini insyallah mampu untuk membuat kita merenung kembali khilaf yang telah dilakukan diri kita semasa menjalinkan perhubungan dengan seorang insan yang bernama wanita.

BIARPUN wanita sinonim dengan hati yang rapuh, mudah dipujuk rayu dan terlalu cepat melatah, namun terdapat empat tip utama untuk memenangi hati wanita yang mampu untuk memberikan kasih sayang yang ikhlas dan jujur kepada seorang lelaki. Berikut adalah beberapa tip daripada Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.


Jadi seorang lelaki sejati
Tidak perlu tampil gagah perkasa tetapi maksud sejati yang diidamkan wanita adalah berperwatakan menarik, sedap mata memandang, senang bergaul dan pandai mengambil hati. Bukan dengan selalu memuji dan bukan juga tidak boleh mengeji tetapi berpada-pada. Katakan dan luahkan yang benar, bukan menyembunyikan fakta hingga yang dusta mewujudkan duka. Lelaki sejati idaman wanita juga bermaksud anda mampu menjadi ketua, bukan mengarah itu ini sebaliknya ketua yang mampu melindungi. Fitrah wanita ingin dijaga kebajikan dirinya dan bukan dia yang perlu menjaga. Wanita juga ingin didominasi oleh lelaki, bukan wanita yang perlu tentukan segala keputusan sehari-hari tetapi didominasi lelaki bukan sampai hak wanita untuk bersuara diketepikan. Lantaran, lelaki sejati idaman wanita ialah mampu bertoleransi, bersikap terbuka dan boleh menerima pendapat dan saranan wanita. Bukan sahaja lelaki, wanita juga tidak suka ditipu dan didustai.

Ramai lelaki bersikap menipu tanpa niat atau dalam istilah ciptaan masyarakat hari ini, bohong sunat. Elakkan bohong seperti ini dan nyatakam kebenaran. Biar kenyataan itu terlalu pahit, nyatakanlah ia kerana wanita boleh memaafkan kesilapan dan keterlanjuran tetapi tidak akan mudah menerima dan memaafkan sebuah penipuan dan pendustaan. Lantas, sentiasa amalkan sikap jujur dan berterus terang. Dalam perkahwinan, ramai suami yang tidak ambil berat isu berkata benar. Ramai yang memegang prinsip daripada katakan yang benar boleh melukakan hati, biarlah berbohong sedikit. Masalah akan jadi lebih besar apabila isteri mengetahui tentang pembohongan tersebut. Isteri sukar terima penipuan untuk menjaga hati sebab si isteri percaya, jika suami benar-benar ikhlas dan sayangkannya suami perlu berterus terang. Sama juga dalam isu khianat kasih; bila si suami mempunyai orang ketiga. Isteri yang mengetahui secara tulus daripada si suami akan lebih bersedia memujuk hati dan menerima hasrat suami berbanding suami yang menduakan dirinya dalam diam.

Ambil berat dan prihatin
Wanita akan mengenepikan rupa, pangkat atau harta sekiranya bertemu lelaki yang mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya. Keprihatinan seorang lelaki akan membuatkan wanita rasa dihargai. Ambil berat tentang kesihatan, emosi, ujian kehidupan, perkara kegemaran malah cerita-cerita lucunya. Dia tidak perlukan nasihat bak kaunselor tetapi memadailah anda meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hatinya. Wanita ideal tidak mendambakan hadiah berharga tetapi memadailah apabila hari-hari penting dalam hidupnya diingati. Ingatan anda cukup membuktikan anda mengambil berat dan prihatin.


Komunikasi unggul
Wanita ingin sentiasa didampingi. Bukan berdampingan dari aspek fizikal semata-mata tetapi dampingi wanita secara emosi. Sentiasalah bertanya khabar dan jangan biarkan dirinya tertunggu-tunggu khabar daripada anda. Penantian tanpa sebarang maklum balas daripada lelaki boleh membuatkan wanita beranggapan dirinya tidak diperlukan. Komunikasi unggul yang perlu dipraktikkan adalah dengan mewujudkan komunikasi tanpa batas iaitu sering berhubung walau sekadar satu mesej ringkas yang bertanyakan khabar. Sentiasa berterus terang, jika keadaan tidak izinkan untuk berbicara panjang, cukup sekadar maklumkan anda akan hubunginya sedikit masa lagi kerana ketika itu anda perlu lakukan sesuatu yang lebih penting. Wanita suka dimanja tetapi bukan terlalu dimanjakan. Wanita suka diberikan kepercayaan dan kebebasan tetapi berpada-pada. Kepercayaan dan kebebasan tanpa batas boleh membuatkan wanita merasakan dirinya tidak diperlukan.

Terima dia seadanya
Wanita sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Paling penting, terima dia seadanya. Jika ada kekurangan dirinya yang boleh diubah, lafazkan dengan penuh hikmah, bukan mencerca tetapi sebagai mendidik ke arah yang lebih baik. Wanita sanggup berusaha sedaya upaya jika anda boleh menerima dirinya seadanya dan lakukan sedikit perubahan demi kebaikan bersama. Wanita tidak suka dibandingkan dengan wanita lain. Lantas, dalam usaha mendidik, jangan bandingkan dia dengan orang lain walau dengan ibu atau saudaranya sendiri.

Read more...

Memiliki Kehilangan

>> Tuesday, June 22, 2010


Begitu cepat masa berlalu. Pejam celik pejam celik hujung minggu kembali bertandang. Suatu saat yang amat dinantikan, namun tanpa cuba kita renungi ia menghampirkan diri kita pada saat-saat kematian. Sekali-sekala bila kelapangan aku merenungi akan perjalanan hidup ini, semenjak kecil hinggalah ke saat ini. Pengalaman demi pengalaman ditempuhi. Bercampur-baur antara tangisan, keriangan, kesyahduan dan ada ketikanya terselit perasaan yang sukar untuk dimengertikan.


Minggu yang sudah, kawan baikku Od, merangkap teman serumah mengakhiri zaman bujang. Sebelum itu, aku dan Nazri menghabiskan sisa-sisa masa yang tinggal bersamanya. Od, masih dengan perangai keanak-anakkannya. Terhibur hati kami dengan keletahnya, walaupun di saat-saat tibanya perpisahan. Setiap masa bersama dimanfaatkan sebaik mungkin, seolah-olah kami akan berpisah buat selama-lamanya. Sebenarnya sebelum ini kami jarang menghabiskan masa bersama. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing walaupun tinggal serumah. Persahabatan yang terjalin hampir 10 tahun yang lalu ketika sama-sama menuntut dalam jurusan senibina di UPM membuatkan kami masak dengan perangai masing-masing. Semasa belajar dahulu, kami sama-sama tidur dibawah 'drafting table' beralaskan 'cardboard', berselimutkan 'butter paper'. Ha ha. Dalam tempoh pengajian selama 4 tahun pelbagai ceritera suka dan duka berlaku antara kami. Soal gaduh dan bermasam muka acapkali berlaku dalam persahabatan kami. Namun, ia tidak berpanjangan. Kerana kami menyedari persahabatan yang telah terbina sekian lama tidak perlu dicemari dengan keegoan masing-masing. Berterus terang. Hulurkan tangan bermaafan. Segala-galanya akan selesai. Insan kamil yang maksum sudah lama pupus dalam dunia ini. Kami amat menyedarinya.


Kini tinggal aku dan Nazri yang masih menunggu saat untuk diijabkabulkan. Bila, dengan siapa dan bagaimana keadaannya masih kabur dipandangan mata kami. Untuk Od, Nazri dan diriku sendiri, ingin aku titipkan suatu ungkapan nasihat yang amat-amat bermakna. Ia merupakan ilham rasa dari seorang ayah iaitu, Prof Abdullah yang kutemui lewat pembacaanku di ruangan Facebooknya. Sahabatku, suatu hari nanti kita akan bergelar ayah dan mungkin inilah antara kata-kata yang ingin kita nyatakan kepada anak-anak kita saat diijabkabulkan, tetapi mungkin tidak berdaya untuk diluahkan melalui perkataan tetapi hanya melalui penulisan.
Buat sahabatku Nazri, kitakah yang memiliki kehilangan?. He he...

Anakanda,
Apalah ertinya renjisan air mawar, beras kuning dan mayang bunga-bungaan ini di tapak tangan anakanda berdua. Masakan benda-benda ini dapat membawa apa-apa kebahagiaan dalam hidupmu.

Lalu ayahanda dan bonda doakan, semoga anakanda berdua:…
berada dalam rumahtangga yang damai selalu, hidup dalam rukun sentiasa, diberi kesefahaman dalam segala hal, dan mendapat kebahagiaan yang bertambah setiap hari.

Jikalau terpaksa diduga juga, ya Allah, dugalah dengan yang terdaya anakanda hamba ini selesaikan,
Kepada anakanda Mohamad Hafidz, jangan pernah anakanda mengasari isterimu, dan kepada anakanda Aainaa, jangan pernah derhaka pada suamimu.
Patuhilah hukum Allah, dan jangan pernah derhaka pada ayah dan ibumu.
Amin, ya Rabbal alamiiin.

Read more...

Hujan Pagi

>> Monday, June 21, 2010


Sewaktu zaman persekolahan dahulu, aku cukup risau jika bangun di waktu pagi dan mendapati suasana di luar gelap menandakan hujan akan turun. Apalagi jika hujan sedang mencurah ketika aku bangkit daripada tidur. Liat rasanya. Jika aku mempunyai kuasa, pasti kutukarkan hari tersebut sebagai cuti hujung minggu. He he...Bukannya apa, jarak 2.5km dari rumah ke sekolah memungkinkan aku untuk basah kuyup di tengah perjalanan seandainya hujan turun. Kalau ditutup dengan baju hujan sekalipun, pakaian akan terasa lembap dan membuatkanku tidak selesa. Aku dilahirkan bukan dalam keluarga yang berada, sehinggakan mampu untuk menaiki kereta ke sekolah apabila hujan turun. Aku dibesarkan di negeri Terengganu yang pastinya akan dilanda musim tengkujuh pada setiap hujung tahun. Dan waktu-waktu tersebut amat merisaukanku untuk ke sekolah. Acapkali juga basikal aku rosak, sama ada di rumah sebelum ke sekolah ataupun di pertengahan jalan ke sekolah. Tiada alternatif lain selain daripada menumpang kawan atau berjalan kaki mengharapkan ada insan-insan yang sudi menumpangkanku. Kebiasaannya, nasib menyebelahi aku.


Suatu pagi, basikal aku meragam. Rantainya selalu 'jatuh' setiap kali kayuhan pertama. Kusangkutkan kembali. Bila ku mula untuk mengayuh, rantai tersebut jatuh kembali. Begitulah seterusnya. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke sekolah. Kunyatakan pada ibu, aku menumpang kawan. Bukannya apa, aku tak mahu ibu risau. Sedangkan sebenarnya tiada kawan sekampung sebaya yang rapat denganku ekoran kecerdasan dan ketrampilanku di sekolah. Mereka segan dan menjauhkan diri dariku. Teman-teman rapatku di kampung terdiri daripada pakcik-pakcik dan datuk-datuk yang sudah bercucu. Dan setiap hujung minggu, bersama merekalah aku menghabiskan masa berbual. Sebab itulah, rakan serumahku kini seringkali mengatakan perangaiku seperti pakcik-pakcik di kampung. He..he..kurang asam!. Ku bersyukur dengan kurniaan Allah. Dan setiap kelebihan yang diberikan pasti ada kekurangan di sebaliknya. Percayalah!. Alhamdulillah pagi tersebut ada seorang lelaki menaiki motosikal menumpangkan aku sehingga ke pintu pagar sekolah. Aku ucapkan terima kasih padanya dan membahasakan dirinya abang lalu menghadiahkan senyuman. Dan, di sebelah petangnya, ketika aku berjalan pulang abang tersebut muncul kembali dan sekali lagi menumpangkanku hingga ke kawasan rumahku. Aku hairan, seolah-olah dia mengekoriku. Tetapi, aku yakin Allah telah membantuku.


Semenjak hari itu, aku selalu bertembung dengan abang tersebut di setiap kali perjalanan aku ke sekolah ataupun pulang ke rumah. Dan jika basikalku meragam, pastinya dia akan menumpangkanku jika kami bertembung. Dia akan senantiasa tersenyum padaku dan akan menanti balasan senyuman dariku. Akhirnya, kuketahui dia merupakan anak kepada pakcik yang selalu berborak denganku di waktu petang ketika aku menghabiskan masa bermain layang-layang di sawah. Pak Teh panggilan aku pada pakcik tersebut. Pak Teh adalah penduduk di kampung sebelah. Beliau selalu memberikan kata-kata semangat padaku agar belajar bersungguh-sungguh. Melalui ayahnya aku ketahui abang tersebut bernama Ayie.


Ketika di tingkatan lima, aku sering menghabiskan masa petangku dengan bermain bola sepak bersama rakan sekampung walaupun kehadiranku membuatkan mereka membisu. Ahhh...terpulanglah. Pasukan bola kami terdiri daripada golongan remaja, pemuda-pemuda dan ada juga yang boleh dikategorikan sebagai pakcik. Salah seorang daripada pemuda tersebut adalah abang Ayie. Sejak itu, hubungan kami agak akrab dan kami mula berbual-bual. Ketika di tingkatan lima juga aku seringkali menghabiskan awal malam ku dengan bersolat secara jemaah dan sementara menunggu isyak akan diadakan ceramah agama. Dan di surau tersebut juga aku sering menemui abang Ayie. Aku akui aku selesa berkawan dengannya kerana sikapnya yang tenang, baik, warak dan tawadduk serta selalu menasihatiku. Walaupun usia kami jauh bezanya, dia amat menghormatiku dan melayaniku seperti seorang dewasa.


Peperiksaan SPM berlalu dan aku diterima masuk ke universiti. Sebelum aku pergi meninggalkan kampung, aku memberitahu abang Ayie berita gembira tersebut. Sepanjang pengajianku di universiti, aku jarang berhubung dengannya. Sekali sekala aku pulang ke kampung, ada juga aku temuinya di jalanan. Kami sekadar bertukar senyum dan bertanya khabar. Dan kini, aku jarang temuinya lagi. Berita terakhir yang kudengar tentangnya ialah abang Ayie sudah berkhawin dan mempunyai 2 orang anak. Mungkin disebabkan aku banyak berkurung di rumah setiap kali pulang ke kampung halaman. Ye la...aku ingin berehat sepuas-puasnya di kampung. Alam pekerjaan yang kutempuhi kini amat-amat melelahkanku. Ha ha...kalaulah tak ada hutang dan ada sedikit tanah di kampung, aku sanggup menjadi petani moden. Cukuplah untuk makan pakaiku dan keluargaku. Tak perlu bermewah-mewah. Yang penting hati gembira dan hidup bahagia tanpa perlu risau tentang perkara-perkara berunsurkan kebendaan.


Dan pagi ini, suasana di luar gelap menandakan hujan akan turun. Sekejap lagi, pasti bumi Kuala Lumpur akan dibasahi hujan. Namun aku tidak risau akan kebasahan kerana kini ku memiliki kereta. Apa yang aku risaukan adalah jalan yang sesak di perjalanan. Dan sekiranya kereta aku rosak di pertengahan jalan, adakah insan yang sudi membantu sepertimana kehadiran abang Ayie yang sering menyelamatkanku dari hadir lewat ke sekolah?. Entahlah, zaman sekarang belum tentu ada insan seperti abang Ayie. Kalau ada pun mungkin sukar ditemui. Sesungguhnya kejayaan ku hari ini, sedikit sebanyak terselit jasa beliau. Ia mengingatkanku tentang erti tolong menolong sesama insan. Ku berdoa moga kehadiranku di dunia ini ditakdirkan untuk memberi manfaat kepada makhluk Allah yang lain. Mmmm...dan seperti kuduga, hujan mula turun. Bermula dari rintik-rintik kecil dan kini kian melebat. Hujan pagi di Kuala Lumpur. Suatu saat yang amat kunantikan. Tidak lagi kurisaukan. Alhamdulillah...aku terselamat dari terperangkap dalam kesesakan!

Read more...

Doa Buat Kekasih


Semasa semester tiga Diploma Pembangunan Manusia, UPM, salah satu subjek yang diambil adalah Komunikasi Antara Perseorangan (kalau tak silap... he he..hampir 10 tahun yang lalu). Pensyarah yang mengajar adalah Dr. Ezani. Dr. Ezani pakar dalam membaca memek muka manusia. Beliau menggalakkan pelajarnya untuk mempersembahkan sesuatu perkara berbentuk komunikasi semasa diawal permulaan kelasnya. Dan untuk itu, beliau akan memberikan markah tambahan semasa peperiksaan akhir. Kalau tak silap 10 markah. Tetapi, sangat jarang pelajarnya yang mengambil peluang tersebut. Kebiasannya tawaran beliau akan berlalu begitu sahaja setiap kali kelas berlangsung.

Entahlah...satu hari tu, aku pun tak tahu apa yang berlaku pada diriku. Dengan beraninya aku bangun dan berjalan ke hadapan lalu menyampaikan sajak yang bertajuk Doa Buat Kekasih (disertakan). Sebenarnya aku tak rancang pun. Kebetulan sajak tersebut terselit dalam buku notaku. Entah dari mana datang pun aku tak tahu. Rakan-rakanku terkejut dengan tindakanku. Sebenarnya aku pun terkejut. Seolah-olah ada tangan yang memimpinku ke hadapan. Selepas peristiwa tersebut, rakan-rakanku selalu mengingatkanku agar memberitahu mereka dulu sebelum aku membuat apa-apa persembahan agar mereka dapat memberi sokongan. Aku senyum. Yang pastinya, bacaan sajakku pada malam tersebut memukau semua pelajar dan juga pensyarah. Aku menyampaikannya dengan penuh perasaan dan penghayatan walaupun aku tidak mempunyai buah hati ketika itu. Entahlah....tiada penjelasan untuk itu. He he...sejak itu aku digelar mat jiwang di kalangan rakan karibku. Dan ramai juga yang meminta sajak tersebut dariku untuk dibuat salinan. Aku sertakan sajak berkenaan. Hayatilah...

Ya Allah…
Seandainya telah Engkau catatkan…
Dia milikku tercipta buatku…
Satukan hatinya dan hatiku…
Titipkan kebahagian antara kami…
Agar kemesraan itu abadi…

Ya Allah…
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi…
Seiringkanlah kami melayari hidup ini…
Ke tepian yang sejahtera dan abadi…
Maka jodohkanlah kami…

Tetapi Ya Allah…
Seandainya telah Engkau takdirkan...
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh dari pandanganku…
Luputkan dia dari ingatanku…
Dan peliharalah aku dari kekecewaan…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak bayangnya jauh ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun tanpa bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaanku…
Di dunia dan di akhirat…
Dengarkanlah rintihan dari hamba-Mu yang daif ini…
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah…

Ya Allah…
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat…
Dan peliharalah kami dari azab api neraka…
Amin…amin…Ya Rabbal ‘aalamin.

Read more...

Membina Motivasi Diri



10 Cara Membina Motivasi Diri


Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, "Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh-kesah.” Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1. Perbaiki Imej Anda
Cuba lakukan sedikit perubahan. Kalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang dipakai sehingga seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dan pelbagaikan warnanya. Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas. Elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda denga sedikit solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada tubuh anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri. Jangan terlalu pendiam, tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat.


2. Lakukan Senaman Ringan


3. Senyum
Senyum boleh mengubah segala-galanya. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik.


4. Berfikiran Positif
Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.


5. Dapatkan Tidur yang Mencukupi
Rungsing dan marah-marah kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Tidur yang tidak mencukupi akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.


6. Luahkan Pada Seseorang
Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan dalam suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat.


7. Curahkan di atas Kertas
Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega.


8. Bersedia Untuk Berubah
Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan tertentu.


9. Cari Kegemaran Baru
Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat adakah minat anda boleh tumbuh di sini.


10. Bertegaslah
Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya.

Read more...

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP