Memiliki Kehilangan
>> Tuesday, June 22, 2010
Begitu cepat masa berlalu. Pejam celik pejam celik hujung minggu kembali bertandang. Suatu saat yang amat dinantikan, namun tanpa cuba kita renungi ia menghampirkan diri kita pada saat-saat kematian. Sekali-sekala bila kelapangan aku merenungi akan perjalanan hidup ini, semenjak kecil hinggalah ke saat ini. Pengalaman demi pengalaman ditempuhi. Bercampur-baur antara tangisan, keriangan, kesyahduan dan ada ketikanya terselit perasaan yang sukar untuk dimengertikan.
Minggu yang sudah, kawan baikku Od, merangkap teman serumah mengakhiri zaman bujang. Sebelum itu, aku dan Nazri menghabiskan sisa-sisa masa yang tinggal bersamanya. Od, masih dengan perangai keanak-anakkannya. Terhibur hati kami dengan keletahnya, walaupun di saat-saat tibanya perpisahan. Setiap masa bersama dimanfaatkan sebaik mungkin, seolah-olah kami akan berpisah buat selama-lamanya. Sebenarnya sebelum ini kami jarang menghabiskan masa bersama. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing walaupun tinggal serumah. Persahabatan yang terjalin hampir 10 tahun yang lalu ketika sama-sama menuntut dalam jurusan senibina di UPM membuatkan kami masak dengan perangai masing-masing. Semasa belajar dahulu, kami sama-sama tidur dibawah 'drafting table' beralaskan 'cardboard', berselimutkan 'butter paper'. Ha ha. Dalam tempoh pengajian selama 4 tahun pelbagai ceritera suka dan duka berlaku antara kami. Soal gaduh dan bermasam muka acapkali berlaku dalam persahabatan kami. Namun, ia tidak berpanjangan. Kerana kami menyedari persahabatan yang telah terbina sekian lama tidak perlu dicemari dengan keegoan masing-masing. Berterus terang. Hulurkan tangan bermaafan. Segala-galanya akan selesai. Insan kamil yang maksum sudah lama pupus dalam dunia ini. Kami amat menyedarinya.
Kini tinggal aku dan Nazri yang masih menunggu saat untuk diijabkabulkan. Bila, dengan siapa dan bagaimana keadaannya masih kabur dipandangan mata kami. Untuk Od, Nazri dan diriku sendiri, ingin aku titipkan suatu ungkapan nasihat yang amat-amat bermakna. Ia merupakan ilham rasa dari seorang ayah iaitu, Prof Abdullah yang kutemui lewat pembacaanku di ruangan Facebooknya. Sahabatku, suatu hari nanti kita akan bergelar ayah dan mungkin inilah antara kata-kata yang ingin kita nyatakan kepada anak-anak kita saat diijabkabulkan, tetapi mungkin tidak berdaya untuk diluahkan melalui perkataan tetapi hanya melalui penulisan.
Buat sahabatku Nazri, kitakah yang memiliki kehilangan?. He he...
Anakanda,
Apalah ertinya renjisan air mawar, beras kuning dan mayang bunga-bungaan ini di tapak tangan anakanda berdua. Masakan benda-benda ini dapat membawa apa-apa kebahagiaan dalam hidupmu.
Apalah ertinya renjisan air mawar, beras kuning dan mayang bunga-bungaan ini di tapak tangan anakanda berdua. Masakan benda-benda ini dapat membawa apa-apa kebahagiaan dalam hidupmu.
Lalu ayahanda dan bonda doakan, semoga anakanda berdua:…
berada dalam rumahtangga yang damai selalu, hidup dalam rukun sentiasa, diberi kesefahaman dalam segala hal, dan mendapat kebahagiaan yang bertambah setiap hari.
Jikalau terpaksa diduga juga, ya Allah, dugalah dengan yang terdaya anakanda hamba ini selesaikan,
Kepada anakanda Mohamad Hafidz, jangan pernah anakanda mengasari isterimu, dan kepada anakanda Aainaa, jangan pernah derhaka pada suamimu.
Patuhilah hukum Allah, dan jangan pernah derhaka pada ayah dan ibumu.
Amin, ya Rabbal alamiiin.
0 comments:
Post a Comment