Hujan Pagi
>> Monday, June 21, 2010
Sewaktu zaman persekolahan dahulu, aku cukup risau jika bangun di waktu pagi dan mendapati suasana di luar gelap menandakan hujan akan turun. Apalagi jika hujan sedang mencurah ketika aku bangkit daripada tidur. Liat rasanya. Jika aku mempunyai kuasa, pasti kutukarkan hari tersebut sebagai cuti hujung minggu. He he...Bukannya apa, jarak 2.5km dari rumah ke sekolah memungkinkan aku untuk basah kuyup di tengah perjalanan seandainya hujan turun. Kalau ditutup dengan baju hujan sekalipun, pakaian akan terasa lembap dan membuatkanku tidak selesa. Aku dilahirkan bukan dalam keluarga yang berada, sehinggakan mampu untuk menaiki kereta ke sekolah apabila hujan turun. Aku dibesarkan di negeri Terengganu yang pastinya akan dilanda musim tengkujuh pada setiap hujung tahun. Dan waktu-waktu tersebut amat merisaukanku untuk ke sekolah. Acapkali juga basikal aku rosak, sama ada di rumah sebelum ke sekolah ataupun di pertengahan jalan ke sekolah. Tiada alternatif lain selain daripada menumpang kawan atau berjalan kaki mengharapkan ada insan-insan yang sudi menumpangkanku. Kebiasaannya, nasib menyebelahi aku.
Suatu pagi, basikal aku meragam. Rantainya selalu 'jatuh' setiap kali kayuhan pertama. Kusangkutkan kembali. Bila ku mula untuk mengayuh, rantai tersebut jatuh kembali. Begitulah seterusnya. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke sekolah. Kunyatakan pada ibu, aku menumpang kawan. Bukannya apa, aku tak mahu ibu risau. Sedangkan sebenarnya tiada kawan sekampung sebaya yang rapat denganku ekoran kecerdasan dan ketrampilanku di sekolah. Mereka segan dan menjauhkan diri dariku. Teman-teman rapatku di kampung terdiri daripada pakcik-pakcik dan datuk-datuk yang sudah bercucu. Dan setiap hujung minggu, bersama merekalah aku menghabiskan masa berbual. Sebab itulah, rakan serumahku kini seringkali mengatakan perangaiku seperti pakcik-pakcik di kampung. He..he..kurang asam!. Ku bersyukur dengan kurniaan Allah. Dan setiap kelebihan yang diberikan pasti ada kekurangan di sebaliknya. Percayalah!. Alhamdulillah pagi tersebut ada seorang lelaki menaiki motosikal menumpangkan aku sehingga ke pintu pagar sekolah. Aku ucapkan terima kasih padanya dan membahasakan dirinya abang lalu menghadiahkan senyuman. Dan, di sebelah petangnya, ketika aku berjalan pulang abang tersebut muncul kembali dan sekali lagi menumpangkanku hingga ke kawasan rumahku. Aku hairan, seolah-olah dia mengekoriku. Tetapi, aku yakin Allah telah membantuku.
Semenjak hari itu, aku selalu bertembung dengan abang tersebut di setiap kali perjalanan aku ke sekolah ataupun pulang ke rumah. Dan jika basikalku meragam, pastinya dia akan menumpangkanku jika kami bertembung. Dia akan senantiasa tersenyum padaku dan akan menanti balasan senyuman dariku. Akhirnya, kuketahui dia merupakan anak kepada pakcik yang selalu berborak denganku di waktu petang ketika aku menghabiskan masa bermain layang-layang di sawah. Pak Teh panggilan aku pada pakcik tersebut. Pak Teh adalah penduduk di kampung sebelah. Beliau selalu memberikan kata-kata semangat padaku agar belajar bersungguh-sungguh. Melalui ayahnya aku ketahui abang tersebut bernama Ayie.
Ketika di tingkatan lima, aku sering menghabiskan masa petangku dengan bermain bola sepak bersama rakan sekampung walaupun kehadiranku membuatkan mereka membisu. Ahhh...terpulanglah. Pasukan bola kami terdiri daripada golongan remaja, pemuda-pemuda dan ada juga yang boleh dikategorikan sebagai pakcik. Salah seorang daripada pemuda tersebut adalah abang Ayie. Sejak itu, hubungan kami agak akrab dan kami mula berbual-bual. Ketika di tingkatan lima juga aku seringkali menghabiskan awal malam ku dengan bersolat secara jemaah dan sementara menunggu isyak akan diadakan ceramah agama. Dan di surau tersebut juga aku sering menemui abang Ayie. Aku akui aku selesa berkawan dengannya kerana sikapnya yang tenang, baik, warak dan tawadduk serta selalu menasihatiku. Walaupun usia kami jauh bezanya, dia amat menghormatiku dan melayaniku seperti seorang dewasa.
Peperiksaan SPM berlalu dan aku diterima masuk ke universiti. Sebelum aku pergi meninggalkan kampung, aku memberitahu abang Ayie berita gembira tersebut. Sepanjang pengajianku di universiti, aku jarang berhubung dengannya. Sekali sekala aku pulang ke kampung, ada juga aku temuinya di jalanan. Kami sekadar bertukar senyum dan bertanya khabar. Dan kini, aku jarang temuinya lagi. Berita terakhir yang kudengar tentangnya ialah abang Ayie sudah berkhawin dan mempunyai 2 orang anak. Mungkin disebabkan aku banyak berkurung di rumah setiap kali pulang ke kampung halaman. Ye la...aku ingin berehat sepuas-puasnya di kampung. Alam pekerjaan yang kutempuhi kini amat-amat melelahkanku. Ha ha...kalaulah tak ada hutang dan ada sedikit tanah di kampung, aku sanggup menjadi petani moden. Cukuplah untuk makan pakaiku dan keluargaku. Tak perlu bermewah-mewah. Yang penting hati gembira dan hidup bahagia tanpa perlu risau tentang perkara-perkara berunsurkan kebendaan.
Dan pagi ini, suasana di luar gelap menandakan hujan akan turun. Sekejap lagi, pasti bumi Kuala Lumpur akan dibasahi hujan. Namun aku tidak risau akan kebasahan kerana kini ku memiliki kereta. Apa yang aku risaukan adalah jalan yang sesak di perjalanan. Dan sekiranya kereta aku rosak di pertengahan jalan, adakah insan yang sudi membantu sepertimana kehadiran abang Ayie yang sering menyelamatkanku dari hadir lewat ke sekolah?. Entahlah, zaman sekarang belum tentu ada insan seperti abang Ayie. Kalau ada pun mungkin sukar ditemui. Sesungguhnya kejayaan ku hari ini, sedikit sebanyak terselit jasa beliau. Ia mengingatkanku tentang erti tolong menolong sesama insan. Ku berdoa moga kehadiranku di dunia ini ditakdirkan untuk memberi manfaat kepada makhluk Allah yang lain. Mmmm...dan seperti kuduga, hujan mula turun. Bermula dari rintik-rintik kecil dan kini kian melebat. Hujan pagi di Kuala Lumpur. Suatu saat yang amat kunantikan. Tidak lagi kurisaukan. Alhamdulillah...aku terselamat dari terperangkap dalam kesesakan!
0 comments:
Post a Comment