Doa Buat Kekasih

>> Monday, June 21, 2010


Semasa semester tiga Diploma Pembangunan Manusia, UPM, salah satu subjek yang diambil adalah Komunikasi Antara Perseorangan (kalau tak silap... he he..hampir 10 tahun yang lalu). Pensyarah yang mengajar adalah Dr. Ezani. Dr. Ezani pakar dalam membaca memek muka manusia. Beliau menggalakkan pelajarnya untuk mempersembahkan sesuatu perkara berbentuk komunikasi semasa diawal permulaan kelasnya. Dan untuk itu, beliau akan memberikan markah tambahan semasa peperiksaan akhir. Kalau tak silap 10 markah. Tetapi, sangat jarang pelajarnya yang mengambil peluang tersebut. Kebiasannya tawaran beliau akan berlalu begitu sahaja setiap kali kelas berlangsung.

Entahlah...satu hari tu, aku pun tak tahu apa yang berlaku pada diriku. Dengan beraninya aku bangun dan berjalan ke hadapan lalu menyampaikan sajak yang bertajuk Doa Buat Kekasih (disertakan). Sebenarnya aku tak rancang pun. Kebetulan sajak tersebut terselit dalam buku notaku. Entah dari mana datang pun aku tak tahu. Rakan-rakanku terkejut dengan tindakanku. Sebenarnya aku pun terkejut. Seolah-olah ada tangan yang memimpinku ke hadapan. Selepas peristiwa tersebut, rakan-rakanku selalu mengingatkanku agar memberitahu mereka dulu sebelum aku membuat apa-apa persembahan agar mereka dapat memberi sokongan. Aku senyum. Yang pastinya, bacaan sajakku pada malam tersebut memukau semua pelajar dan juga pensyarah. Aku menyampaikannya dengan penuh perasaan dan penghayatan walaupun aku tidak mempunyai buah hati ketika itu. Entahlah....tiada penjelasan untuk itu. He he...sejak itu aku digelar mat jiwang di kalangan rakan karibku. Dan ramai juga yang meminta sajak tersebut dariku untuk dibuat salinan. Aku sertakan sajak berkenaan. Hayatilah...

Ya Allah…
Seandainya telah Engkau catatkan…
Dia milikku tercipta buatku…
Satukan hatinya dan hatiku…
Titipkan kebahagian antara kami…
Agar kemesraan itu abadi…

Ya Allah…
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi…
Seiringkanlah kami melayari hidup ini…
Ke tepian yang sejahtera dan abadi…
Maka jodohkanlah kami…

Tetapi Ya Allah…
Seandainya telah Engkau takdirkan...
Dia bukan milikku...
Bawalah dia jauh dari pandanganku…
Luputkan dia dari ingatanku…
Dan peliharalah aku dari kekecewaan…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak bayangnya jauh ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun tanpa bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaanku…
Di dunia dan di akhirat…
Dengarkanlah rintihan dari hamba-Mu yang daif ini…
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah…

Ya Allah…
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat…
Dan peliharalah kami dari azab api neraka…
Amin…amin…Ya Rabbal ‘aalamin.

0 comments:

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP