Memilih Cinta

>> Thursday, June 24, 2010



Pagi ini aku terlewat bangun. Jam 6.30 pagi baru aku tersedar dari tidur. Gugup aku. Kebiasaannya jam 6.40 pagi aku sudah keluar dari rumah menuju ke pejabat. Silap aku juga, semalam aku melepak bersama rakan sehingga ke angka 12.00 tengah malam!. Sangat-sangat jarang dibuat. Aku bergegas ke bilik air mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh. Usai solat aku bertafakur di atas sejadah. Aku teringat untuk menghantar sms kepada rakan sejawatku memaklumkan kelewatanku. Alang-alang lewat biar lewat betul, kalau tidak aku terpaksa menempuh jalan yang amat sesak.

Petang semalam, aku minum petang bersama Abang Zaimi, rakan sejawatku. Macam biasa, bila bersamaku isu yang seringkali timbul adalah berkenaan perkhawinan. 'Kau nie bila nak kawin ?'. Itu adalah pertanyaan biasa untukku darinya. Aku macam biasa, senyum kambing!. Tak berperasaan. Tapi bila dia kata aku terlalu memilih, mukaku mula berkerut. Dia mula rancak memuntahkan butir bicaranya. Aku terima kata-katanya sebagai satu nasihat daripada seorang abang. ' Kau nie Madir, memilih sangat. Aku dulu sebelum kawin aku ada 5 orang mak we untuk dibuat pilihat terakhir. Aku tak hensem macam nie pun ramai orang nak, apalagi kau yang hensem. Perempuan bila dia tengok lelaki yang hensem macam kau nie, mesti dia takut nak dekat. Sebab tu kau kena main peranan. Nie tak, asyik berkurung dalam rumah. Tidur awal. Sesekali keluarlah bersosial. Janganlah asyik keluar ngan housemate saja. Keluar dalam kelompok yang ramai. Biasakan diri dengan perempuan'. Opssss...panas telingaku. Tapi sabar Madir. Hatiku berbisik menenangkan diri. Sememangnya kalau Abang Zaimi yang menegurku, aku pasti lebih banyak terdiam. Aku mencerna segala butir katanya, menyaring, kemudian kuambil mana-mana yang difikirkan perlu. Kuanggap ia sebagai kata-kata nasihat dari seorang abang.

Bicaranya tidak putus setakat itu. Dia menambah. 'Bila kau dah kawin, kau takkan ada masa nak fikir yang bukan-bukan selain daripada keluarga kau. Fikiran kau akan fokus pada anak-anak, isteri, keluarga sebelah kau dan keluarga sebelah mertua. Masalah-masalah kerja, kawan dah jadi masalah kecik yang kau tak perlu rungsingkan. Tapi sebelum kawin kau memang kena kumpul duit banyak-banyak. Kawin perlukan banyak duit. Tapi aku yakin kau nie mesti simpan banyak duit. Satu lagi, lelaki hensem macam kau nie, aku rasa mesti perempuan mintak hantaran banyak'. Pulak dah. 'Kenapa?'. Aku menyoal. 'Sebab nanti mesti bini kau takut kau akan kawin banyak, sebab mesti ramai perempuan suka kat kau. Jadi dia letak hantaran tinggi supaya kau sedar betapa susahnya nak kawin'. Lah....ke situ pulak dia. Aku nak tergelak pun ada. Apa-apalah Abang Mie.

Sejujurnya, demi Allah aku tidak pernah merasakan diriku seorang lelaki yang hensem. Sekadar sedap mata memandang. Ingin kunyatakan kepada semua yang menganggap diriku memilih, seandainya aku boleh meletakkan perasaan cinta kepada seseorang semudah meletakkan sesuatu barang yang diambil ke dalam beg, pastinya akan kulakukan. Siapakah insan di dunia ini yang tidak menginginkan teman istimewa yang akan menyokong perjalanan hidupnya?. Adakah insan di dunia ini yang sememangnya tidak memerlukan orang lain dalam kehidupannya?. Aku rasa tiada. Kalau ada pun, pastinya insan tersebut tidak normal sebagai seorang manusia.

Kehidupan kita di dunia ini ibarat pelakon di dalam suatu pementasan teater. Skrip sudah tersedia. Jalan cerita juga sudah dirangka. Kita tidak mempunyai pilihan yang banyak walaupun seolah-olah kita boleh memilih apa yang kita mahu. Sebahagian besar kehidupan kita sudah ditakdirkan, dan hanya sebahagian kecil yang kita tentukan. Itu pun melalui usaha dan pengabadian doa-doa kita kepada Allah. Andaikata, kita diberikan sepenuhnya ruang dan juga peluang untuk memilih kehidupan yang bagaimana kita ingin lalui, sudah pasti tiada insan yang memilih untuk derita!. Percayalah. Semuanya akan memilih kebahagiaan sebagai satu-satunya pilihan yang diingini. Namun kita manusia seringkali lupa, bahawa kita ini adalah insan yang lemah. Tidak sempurna. Kebahagiaan yang selalu dipilih sebenarnya adalah bersifat sementara. Kerana kita tidak mengetahui, lebih banyak derita yang tersirat di sebalik kebahagiaan yang kita pilih. Kerana itu, kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan tawakkal memohon keampunanNYA, agar diberikan kebahagiaan selamanya. Selebihnya biarlah Allah yang menentukan. Perjalanan hidup seharusnya biarlah berliku. Itu ketetapan. Biar berselang antara kesedihan dan kegembiraan. Kerna ia mampu untuk mendewasa dan mengingatkan kita manusia, sebenarnya adalah seorang hamba. Seorang hamba yang perlu sentiasa meminta daripada Tuhannya. Bebaskan pandangan dengan menikmati keindahan alam yang terbentang. Kawasan yang bergunung-ganang, ada lembah di antaranya, juraian air terjun yang mengalir ke sungai, pepohon yang rimbun dan dipenuhi dengan hidupan sememangnya menjadi pilihan berbanding tanah lapang yang kontang dan rata. Jadi kehidupan juga seharusnya begitu.

Berbalik kepada diriku. Aku ingin memiliki seorang isteri yang solehah, sedap mata memandang, daripada keturunan yang baik-baik, yang mampu untuk melengkapi kekurangan diriku dan seharusnya mampu menjadi ibu yang baik untuk anak-anakku. Agar kuburku nanti terang benderang dengan suluhan cahaya keimanan mereka. Episod pencarian cintaku belum lagi berakhir untuk kuserahkannya kepada wanita yang memiliki ciri-ciri yang kupilih. Aku memilih untuk mencari bahagia melalui ciri-ciri isteri yang kunyatakan, selari dengan saranan Rasulullah S.A.W.

Teman, adakah aku memilih cinta?.

0 comments:

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP