Mentari Masih Jingga

>> Tuesday, August 31, 2010


Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana masih memberikanku kesempatan untuk menyaksikan keindahan mentari jingga di ufuk timur. Maha suci Allah, walaupun mentari jingga itu masih sama seperti semalam dan mungkin beribu tahun yang lalu, keindahannya masih belum pudar untuk terus direnung.


Tinggal dua hari lagi waktu untuk kuhabiskan di Kuala Lumpur sebelum melangkah pulang ke kampung halaman menyambut sisa ramadhan dan insyallah syawal bersama keluarga tersayang. Namun, dalam waktu yang bersisa inilah dugaan demi dugaan datang melanda diriku. Aku insafi kejadian diri ini yang penuh dengan kekurangan. Sesungguhnya Allah sedang mengujiku. Menguji tahap keimananku, dan mungkin juga membantuku untuk terus mengekalkan ketaqwaan kepadanya. Kali ini, dugaan yang menyerangku adalah berbentuk pertikaian integriti dan kebertanggungjawabanku. Sejujurnya, apa yang berlaku adalah disebabkan oleh KEJUJURAN diriku sendiri. Pelikkan?. Tetapi itulah yang berlaku. Integriti, profesionalisme dan sifat tanggungjawabku dipertikai kerana aku terlalu jujur dan bersifat benar. Aku malas ingin mengulas apa yang sebenarnya berlaku. Namun kuyakin, apa yang cuba kusampaikan dapat difahami oleh sesiapa jua yang menjengah entri kali ini.


Perasaannya amatlah sayu, sedih, putus harap, terasa maruah diri seolah-olah bercerai dengan jasad lalu jatuh terhempas ke lantai. Berkecai!. Namun, apakan daya. Pada Allah tempat mengadu semuanya. Kerana kusedar, tidak semua perkara yang berlaku mampu kuatasi dengan kekerasan. Banyak perkara yang perlu ditangani dengan kelembutan dan kejujuran selagi mana seseorang itu tidak melakukan kesalahan. Selebihnya berserah. Ya, berserah pada Yang Maha Kuasa. Dan begitulah keadaanku ketika ini.


Semalam, sebelum sahur kubangun menunaikan solat taubat dan hajat. Memohon keampunan di atas segala dosa yang telah kulakukan sedari kecil hingga ke saat ini. Terasa dosa-dosaku ibarat pepasir yang memutih disepanjang tepian pantai. Ya Allah, banyaknya dosaku. Ampunkan daku. Moga Allah sudi mengampuni diri ini dan memberi kekuatan kepada diriku. Mungkin dugaan pada masa akan datang lebih hebat lagi sifatnya.


Pagi ini, kurenung mentari jingga yang kian meninggi. Satu keluhan besar kulepaskan. Aku ingin serahkan diriku sepenuhnya padaMU Ya Allah. Moga Allah akan memudahkan diriku dan menerimanya. Aku ingin serahkan segala-galanya padaMU. Hidupku, matiku hanya untukMU. Aku harus bangkit. Ya bangkit menunaikan amanahku sebagai seorang khalifah biarpun ribut melanda. Jadilah seperti mentari jingga yang tidak pernah pudar warnanya walaupun tiada siapa yang senantiasa setia merenungnya kecuali diriku. Ya, mentari itu masih jingga biar usianya tidak mampu kujangka.

Read more...

Harapanku

>> Sunday, August 29, 2010

Minggu lepas, aku diuji lagi oleh Allah. Mungkin doaku di setiap kali akhir solat dalam sujud terakhir dimakbulkan oleh Allah. Kupinta agar Allah mendekatkan diriku denganNYA, mencintaiNYA setulus hatiku, merinduiNYA sepanjang hayatku. Dan Allah memakbulkan doaku melalui ujianNYA sebagai tanda kasih sayangNYA padaku. Ya Allah, moga dugaanMU ini mendekatkan lagi diriku padaMU.

Harapanku untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana sekali lagi hancur. Ini kali kedua permohonanku berbuah kehampaan. Ini menjadikan diriku pemegang rekod sebagai individu yang paling banyak memohon dan sentiasa gagal. Sedangkan orang lain berjaya dengan hanya sekali percubaan. Ya Allah, tabahkan hambaMU ini. Sesungguhnya aku lemah Ya Allah. Rakan-rakanku terkejut dan tidak percaya dengan kegagalanku ini memandangkan aku adalah calon utama dengan markah tertinggi. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam soal ini. Apa lagi mewujudkan syak wasangka. Walaupun kudapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dan 'sesuatu yang tidak kena' itu sebenarnya sedikit demi sedikit memunculkan dirinya. Aku malas untuk mengoreknya. Aku tidak mahu mewujudkan ribut di dalam secangkir kopi. Apa lagi 'ribut' di dalam diriku. Aku mahu membiarkannya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.


Kepada sahabatku yang menangisi kegagalanku, terima kasih kuucapkan kerana seringkali menemaniku di sepanjang perjalanan kehidupanku. Doakan kebahagiaanku dan kejayaanku. Aku yakin bahawa Allah telah menjanjikan sesuatu yang terbaik untukku di hujung sana.


Ya Allah, padaMu kupohon keampunan, kekuatan, ketabahan, ketenangan, kedamaian, kecintaan dan kerinduan yang amat mendalam terhadapMu. Dan peliharalah diriku dari berprasangka buruk terhadap hamba-hambaMU yang lain. Jadikan aku seorang yang sabar Ya Allah. Semoga dugaanMU ini mendekatkan lagi diriku padaMU. Amin...

Read more...

Masa dan Diriku

>> Sunday, August 22, 2010


Cepat benar masa berlalu. Pejam celik pejam celik ramadhan yang baru kurasakan bermula, kini sudah beralih ke fasa kedua-fasa keampunan. Ya Allah cepatnya masa berlalu. Segera aku teringat pada Surah Al -'Asr, 'Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.' Sesungguhnya Allah telah memberikan peringatan yang amat jelas kepada manusia agar menghargai masa sebaik mungkin, namun masih ramai yang gagal menghargainya, termasuk diriku.


Ketika aku menulis artikel ini, ku terpandang kaki seluarku yang sedikit terangkat apabila aku duduk di kerusi. Masya Allah, stokin dikaki kananku berwarna kelabu dan stokin di kaki kiriku berwarna hitam!. Astagfirullah...apa kena diriku ini. Memang dari minggu lepas kesihatanku agak kurang baik. Sepanjang masa hidungku berair, batuk dan bersin. Mujur tidak demam yang teruk. Sepanjang minggu lepas pelbagai perkara yang berlaku menyebabkanku tersenyum sendirian. He he...


Isnin lepas, sama seperti hari ini-aku memakai stokin yang sama, sebelah hitam dan sebelah lagi putih. Aku tak dapat jelaskan kenapa ia berlaku. Selasa, paling melucukan- aku tertinggal kasut di rumah. Ku keluar dari rumah langsung memandu ke pejabat tanpa kusedari semua kasut pejabatku ditinggalkan di rumah. akibatnya aku hanya memakai selipar sepanjang masa di pejabat dengan stokin. Termasuk menghadiri mesyuarat yang penting di pejabat. Mujur 'big boss' tak perasan. Rabu, aku sampai agak awal di pejabat. Aku tidur seketika menantikan waktu dhuha. Usai solat, aku mencari telefon bimbitku. Masya Allah, aku tertinggal di rumah dalam keadaan sedang di 'charge'. Segera kutelefon rakan serumahku supaya menutup suis. Nombor telefonnya kuperolehi daripada seorang rakan sepejabatku yang kebetulan nombornya masih diingatanku. Dugaan. Khamis, Azril menumpang keretaku untuk ke pejabat. Isterinya, Dalila demam dan alahan pembawakan budak. Jadi dia menumpangku untuk ke pejabat setelah datang ke rumahku dengan menaiki skuter comelnya itu. Di sebelah petangnya, bila sampai di hadapan rumahku-baru kusedar aku tertinggal kunci rumah di pejabat. Aku buntu, kerana kebiasaannya kunci rumah kutinggalkan di dalam kereta. Tersenyum aku petang itu. Segera kutelefon rakan serumahku, dia nyatakan yang dia berbuka puasa si Shah Alam. Azril senyum padaku dan mengajakku berbuka bersamanya. Sebelum itu, Azril terpaksa memanjat pagar rumahku untuk mengambil kunci rumahnya yang ditinggalkan dalam topi keledar. Malam itu ku solat isyak dan tarawikh di masjid berbaju batik!. Jumaat, ku bertolak awal ke pejabat. Mencari kunci rumahku di dalam laci meja sisi. Tiada!. Aku kembali ke kereta mencari sebaik mungkin. Masih juga gagal ditemui.


Hingga ke saat ini aku masih tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa minggu lepas. Ia berpunca daripada diriku yang gagal memanfaatkan masa terluangku untuk mengemas pakaianku sehinggakan aku tersalah memakai stokin yang berlainan. Kemudian, aku gagal menguruskan masaku sehinggakan aku terlewat daripada kebiasaan untuk ke pejabat sehinggakan aku terlupa untuk membawa kasut dan telefon bimbitku. Dan kerana gagal menguruskan masa jugalah aku menjadi kalut sehinggakan aku terlupa di mana telah kucampakkan kunci rumahku.


Ya Allah, adakah aku salah seorang hambamu yang kerugian?.

Read more...

Ketika Allah Memilihmu Untukku..

>> Thursday, August 12, 2010


Kebelakangan ini, kurasakan waktu kian singkat untukku. Celik saja mata, jadual masaku penuh sehingga mataku kembali pejam di waktu malam. Letih badanku. Semuanya atas nama tuntutan kerja. Blogku agak lama tiada pengisian. Seperti kumaklumkan sebelum ini, jika ku sibuk pastinya entri yang aku paparkan di blog ini adalah cetusan daripada ilham rasa insan lain yang kutemui lewat pembacaanku. Salah satu cetusan rasa yang kurasakan sesuai untuk direnung bersama, terutamanya kaum hawa.



Padamu yang Allah pilihkan dalam hidupku..
Ingin kunyatakan padamu..
Aku hidup dan besar dari keluarga bahagia..
Orang tua yang begitu sempurna..
Dengan cinta yang begitu membuncah..
Aku dibesarkan dengan limpahan kasih yang tidak terhingga..
Maka, padamu kunyatakan..
Saat Allah memilihmu dalam hidupku,
Maka saat itu Dia berharap, kau pun sanggup melimpahkan cinta padaku..
Memperlakukanku dengan sayang yang begitu indah..


Padamu yang Allah pilihkan untukku..
Ketahuilah, aku hanya wanita biasa dengan begitu banyak kekurangan dalam diriku,
Aku bukanlah wanita sempurna, seperti yang mungkin kau harapkan..
Maka, ketika Dia memilihmu untukku,
Maka saat itu, Dia ingin menyempurnakan kekuranganku dengan keberadaanmu.
Dan aku tahu, Kaupun bukanlah laki-laki yang sempurna..
Dan kuberharap ketidaksempurnaanku mampu menyempurnakan dirimu..
Karena kelak kita akan jadi satu..
Aibmu adalah aibku, dan indahmu adalah indahku,
Kau dan aku akan menjadi 'kita'..


Padamu yang Allah pilihkan untukku..
Ketahuilah, sejak kecil Allah telah menempa diriku dengan ilmu dan tarbiyah,
Membentukku menjadi wanita yang mencintai Rabbnya..
Maka ketika Dia memilihmu untukku,
Maka saat itu, Allah mengetahui bahwa kaupun telah menempa dirimu dengan ilmuNya.. Maka ganding tanganku dalam mengibarkan panji-panji dakwah dalam hidup kita..
Itulah visi pernikahan kita..
Ibadah pada-Nya ta'ala..


Padamu yang Allah tetapkan sebagai nahkodaku..
Ingatlah.. Aku adalah mahlukNya dari tulang rusuk yang paling bengkok..
Ada kalanya aku akan begitu membuatmu marah..
Maka, ketahuilah.. Saat itu Dia menghendaki kau menasihatiku dengan hikmah,
Sungguh hatiku tetaplah wanita yang lemah pada kelembutan..
Namun jangan kau cuba meluruskanku, karena aku akan patah..
Tapi jangan pula membiarkanku begitu saja, karena akan selamanya aku salah..
Namun tatap mataku, tersenyumlah..
Tenangkan aku dengan genggaman tanganmu..
Dan nasihati aku dengan bijak dan hikmah..
Niscaya, kau akan menemukanku tersungkur menangis di pangkuanmu..
Maka ketika itu, kau kembali memiliki hatiku..


Padamu yang Allah tetapkan sebagai atap hunianku..
Ketahuilah, ketika ijab atas namaku telah kau lontarkan..
Maka dimataku kau adalah yang terindah,
Kata2mu adalah titah untukku,
Selama tidak bermaksiat pada Allah, akan kupenuhi semua perintahmu..
Maka kalau kau berkenan kumeminta..
Jadilah hunian yang indah, yang kukuh…
Yang mampu membuatku dan anak-anak kita nyaman dan aman di dalamnya..


Padamu yang Allah pilih menjadi penopang hidupku…
Dalam istana kecil kita akan hadir buah hati-buah hati kita..
Maka didiklah mereka menjadi generasi yang dirindukan syurga..
Yang di pundaknya akan diisi dengan amanah-amanah dakwah,
Yang ruh dan jiwanya selalu merindukan jihad..
Yang darahnya mengalir darah syuhada..
Dan kuyakin dari tanganmu yang penuh berkah, kau mampu membentuk mereka..
Dengan hatimu yang penuh cinta, kau mampu merengkuh hati mereka..
Dan aku akan selalu jatuh cinta padamu..


Padamu yang Allah pilih sebagai imamku…
Ku memohon padamu.. Redhalah padaku,
Sungguh Ridhomu adalah Ridho Ilahi Rabbi..
Mudahkanlah jalanku ke Syurga-Nya..
Karena bagiku kau adalah kunci Surgaku..

Read more...

Menjadi Diri Sendiri

>> Tuesday, August 10, 2010


Bagaimana menjadi diri sendiri?. Diri Anda adalah Anda dengan segala keunikan dan potensi yang Anda miliki. Menjadi diri sendiri adalah Anda tetap dalam keunikan Anda, tanpa harus mengikuti siapa pun. Para sahabat Rasulullah saw pun tetap pada keunikannya masing-masing. Abu Bakar as, Umar Bin Khathab as, Ustman bin Afan as, dan Ali as pun memiliki keunikan masing-masing tanpa mengurangi kemuliaannya.


Kemudian setiap manusia memiliki potensi. Potensi yang bisa digunakan untuk meraih sukses sesuai dengan keunikannya masing-masing. Untuk menjadi diri Anda sendiri, Anda harus mengoptimalkan semua potensi diri Anda, tanpa harus merubah keunikan Anda atau mengikuti orang lain. Saat keunggulan unik Anda belum dimunculkan secara optimal, maka Anda belumlah menjadi diri sendiri. Mungkin baru setengahnya, atau bahkan seperempatnya, atau baru 10 %?. Bahkan kurang?.


Mana bisa menjadi diri sendiri yang seutuhnya jika kita belum mengoptimalkan potensi diri kita seutuhnya?. Kita tidak pernah tahu sampai di mana potensi diri kita. Namun sejauh mana pun kita sudah mengoptimalkan potensi diri saat ini, kita masih boleh terus meningkatkannya. Anda masih boleh lebih baik dari saat ini, walau sehebat mana pun Anda saat ini. Tidak ada yang namanya pencapaian puncak dunia ini. Yang ada hanya nanti di akhirat saat bertemu Allah SWT.


Jadi selama di dunia, kita masih bisa memperbaiki diri kita. Kita jadikan hari ini lebih baik dari hari kemarin dan menjadikan hari esok menjadi lebih baik dari hari ini:
“Barang siapa yang hari ini sama saja dengan kemarin, merugilah dia. Jika hari ini lebih buruk dari kemarin, dia celaka. Dan beruntunglah bila hari ini lebih baik dari kemarin.” (HR Bukhari)

Read more...

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP