Mentari Masih Jingga

>> Tuesday, August 31, 2010


Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana masih memberikanku kesempatan untuk menyaksikan keindahan mentari jingga di ufuk timur. Maha suci Allah, walaupun mentari jingga itu masih sama seperti semalam dan mungkin beribu tahun yang lalu, keindahannya masih belum pudar untuk terus direnung.


Tinggal dua hari lagi waktu untuk kuhabiskan di Kuala Lumpur sebelum melangkah pulang ke kampung halaman menyambut sisa ramadhan dan insyallah syawal bersama keluarga tersayang. Namun, dalam waktu yang bersisa inilah dugaan demi dugaan datang melanda diriku. Aku insafi kejadian diri ini yang penuh dengan kekurangan. Sesungguhnya Allah sedang mengujiku. Menguji tahap keimananku, dan mungkin juga membantuku untuk terus mengekalkan ketaqwaan kepadanya. Kali ini, dugaan yang menyerangku adalah berbentuk pertikaian integriti dan kebertanggungjawabanku. Sejujurnya, apa yang berlaku adalah disebabkan oleh KEJUJURAN diriku sendiri. Pelikkan?. Tetapi itulah yang berlaku. Integriti, profesionalisme dan sifat tanggungjawabku dipertikai kerana aku terlalu jujur dan bersifat benar. Aku malas ingin mengulas apa yang sebenarnya berlaku. Namun kuyakin, apa yang cuba kusampaikan dapat difahami oleh sesiapa jua yang menjengah entri kali ini.


Perasaannya amatlah sayu, sedih, putus harap, terasa maruah diri seolah-olah bercerai dengan jasad lalu jatuh terhempas ke lantai. Berkecai!. Namun, apakan daya. Pada Allah tempat mengadu semuanya. Kerana kusedar, tidak semua perkara yang berlaku mampu kuatasi dengan kekerasan. Banyak perkara yang perlu ditangani dengan kelembutan dan kejujuran selagi mana seseorang itu tidak melakukan kesalahan. Selebihnya berserah. Ya, berserah pada Yang Maha Kuasa. Dan begitulah keadaanku ketika ini.


Semalam, sebelum sahur kubangun menunaikan solat taubat dan hajat. Memohon keampunan di atas segala dosa yang telah kulakukan sedari kecil hingga ke saat ini. Terasa dosa-dosaku ibarat pepasir yang memutih disepanjang tepian pantai. Ya Allah, banyaknya dosaku. Ampunkan daku. Moga Allah sudi mengampuni diri ini dan memberi kekuatan kepada diriku. Mungkin dugaan pada masa akan datang lebih hebat lagi sifatnya.


Pagi ini, kurenung mentari jingga yang kian meninggi. Satu keluhan besar kulepaskan. Aku ingin serahkan diriku sepenuhnya padaMU Ya Allah. Moga Allah akan memudahkan diriku dan menerimanya. Aku ingin serahkan segala-galanya padaMU. Hidupku, matiku hanya untukMU. Aku harus bangkit. Ya bangkit menunaikan amanahku sebagai seorang khalifah biarpun ribut melanda. Jadilah seperti mentari jingga yang tidak pernah pudar warnanya walaupun tiada siapa yang senantiasa setia merenungnya kecuali diriku. Ya, mentari itu masih jingga biar usianya tidak mampu kujangka.

0 comments:

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP