Masanya Hampir Tiba
>> Thursday, September 2, 2010
Yea!. Masanya hampir tiba. Semua orang bergembira. Saf di masjid kian mengecil walaupun di saat 10 Ramadhan terakhir yang menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Di sana sini berkumandang lagu raya. Dan aku semakin 'allergic'. Yea, aku terasa satu suasana yang sukar untuk kunyatakan pabila mendengar lagu raya. Jujur kunyatakan, aku amat merindui Ramadhan, dan kucuba elakkan syawal. Terutamanya satu Syawal. He he. Terukkan?. Aku pun tidak tahu mengapa. Namun, seperti kebiasaan, aku adalah pemegang rekod cuti raya yang tegar di pejabatku. Ha ha..Seminggu sebelum raya, aku sudah pulang ke desa menikmati sisa ramadhan bersama keluarga tercinta. Diikuti pula oleh seminggu cuti ketika raya dan seminggu lagi selepas minggu pertama syawal. Ramai yang memperli, tapi langsung tidak berkesan di hatiku. Yang penting masaku bersama keluarga amat berharga. Takkan kusia-siakan. Ini bererti hampir tiga minggu aku takkan memperbaharui entri dalam blog ini. Ini kerana, aku tidak mempunyai kemudahan internet di kampung. Kalau pun ada, dapat kurasakan aku juga tidak akan menggunakannya. Ha ha...Hari ini kucuba untuk menyelesaikan segala macam perkara berbangkit di pejabat. Dari hal berkaitan kerja sehinggalah hal-hal yang bersangkutan peribadi yang masih di dalam lingkungan profesionku. Sukar untukku jelaskan satu persatu.
Banyak perkara yang berlaku hari ini melibatkan rakan-rakan sepejabatku. Sedih dan gembira. Awal pagi ini, kami semua dikejutkan dengan berita pemergian anak kepada Aishah, Juruteknik di bahagianku. Anak beliau mengalami sakit buah pinggang kalau tidak silapku. Masih muda usianya, 1 tahun dugaku. Kasihanku pada Aishah. Pemergian anak pertama beliau disaat menjelangnya Syawal pastinya menambahkan lagi kesyahaduan. Pastinya sedikit sebanyak kelengkapan raya untuk si kecil sudah disediakan. Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya.
Di sebelah petangnya, si Aswat kelihatan amat gembira apabila menerima bungkusan berisi kasut berjenama yang amat menawan. Hadiah yang tidak disangka-sangka di saat menjelangnya hari kebesaran umat islam pastinya amat bermakna. Sebenarnya beliau memasuki satu peraduan yang mudah di sebuah majalah tempatan sekadar suka-suka mencuba. Tidak langsung diharapkan akan hasilnya. Namun, rezeki Allah mengatasi segala-galanya. Ucapan syukur tidak henti-henti meluncur dari mulutnya. Alhamdulillah. Aku yakin, pastinya beliau akan menitiskan air mata kesyukuran sedikit masa lagi. Aku kenal benar si Aswat tu.
Aku?.....entah. Aku sudah menyerahkan segala-galanya berkenaan hidupku pada Yang Satu. Andai kata khabar gembira untukku, alhamdulillah. Sekiranya khabar duka buatku, inalillah...Hanya padaMU tempat kuberserah. Aku tidak berani untuk menaruh sebarang harapan. Kerana kusedar siapalah diriku untuk meminta-minta dariNYA. Aku menerima seadanya. Pasti ada hikmah di sebalik kurniaanNYA. Moga aku sentiasa bersyukur. Aku hanya memohon kebaikan untuk hidupku dariNYA dengan perasaan yang amat segan. Apalagi ketika aku memohon, aku terbayangkan diriku yang sentiasa mengingkari arahanNYA. Aku malu. Namun kutahu masanya hampir tiba. Ya hampir tiba untukku kembali merinduiNYA dalam setiap saat degupan jantungku. Dan pintaku biarlah ia berkekalan hingga ke saat masanya kematian itu tiba.
0 comments:
Post a Comment