Cerita Cutiku
>> Thursday, September 30, 2010
Sepanjang bercuti raya, kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian amat kurasakan dalam hidupku. Setiap pagi aku akan melihat wajah tenang ibu di beranda rumah menantikan mentari pagi terbit di ufuk timur. MasyaAllah...itulah ketenangan yang amat-amat kucintai, kurindui dan ingin kumiliki buat selama-lamanya. Ketenangan itu mengubat sejuta lara di hati lantas menerbitkan keceriaan yang tidak terhitung di hati. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih ibu...

Seperti biasa, ada tugas yang menantiku setiap kali bercuti di kampung. Tak lain dan tidak bukan, chef tidak terlatih. Ha ha...setiap kali aku pulang ke kampung, kakak-kakakku dan anak-anak buah akan memintaku untuk memasak makanan kegemaran mereka. Kebiasaannya siakap stim, tom yam putih, sup tulang, rendang, soto dan lain-lain. Aku sebenarnya bukanlah pandai sangat memasak. Rasanya kakak-kakakku lebih handal memasak dariku. Namun, mereka katakan ada rasa istimewa dari masakanku yang tidak mereka dapati dari masakan mereka sendiri. Iyo ko?. Entahlah...bagiku sama saja. Mungkin mereka ingin mengenakanku, supaya mereka dapat berehat dari mengadap dapur. Entahla... Tapi bagiku, setiap apa jua yang kita laksanakan haruslah didasari oleh perasaan kasih sayang dan keikhlasan. Mungkin inilah ramuan yang melazatkan lagi masakanku. He he..
Namun, ada suatu saat di mana hatiku tersentuh bila kakak sulungku menyatakan bahawa mungkin tahun ini adalah tahun terakhir di mana aku dapat menolongnya memasak. Mungkin tahun hadapan, aku tiada lagi disisinya di saat menjelang Syawal. Ini kerana, beliau dapat merasakan yang aku akan menamatkan zaman bujangku sebelum Ramadhan tahun 2011. Ibuku turut berkongsi pandangan yang sama. Aku terdiam. Hatiku tersentuh kerana pertolonganku selama ini amat dihargai oleh mereka berdua. Tidak kunafikan, Insyallah pada tahun hadapan aku bercadang untuk bergelar suami. Namun, berat rasanya untukku meninggalkan mereka berdua terutama di saat menjelangnya Syawal. Kakakku yang kedua bertugas sebagai seorang jururawat pastinya membataskan beliau untuk turut sama menyediakan juadah istimewa di pagi raya. Seperti mana tahun ini, beliau terpaksa bertugas pada hari terakhir Ramadhan dan hari pertama Syawal.
Aku amat menghargai pandangan ibuku apabila beliau menyatakan bahawa aku anak yang baik, taat dan rajin membantu. Tugas di dapur kebiasaannya diserahkan bulat-bulat kepada kaum wanita. Namun, tambah beliau aku sangat baik kerana rajin membantu memudahkan kerja-kerja di dapur. Entahla...sukar untuk kunyatakan. Bagiku, sebagai seorang lelaki aku bertanggungjawab untuk memudahkan kerja, tidak kira apa jua tugas berkenaan selagi tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Dan, kupanjatkan doa pada Ilahi moga sikap 'ringan tulangku' ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Seandainya ada jodohku tahun hadapan, insyallah aku akan beristerikan seorang doktor. Pastinya aku tidak akan memiliki masa cuti yang mewah seperti sekarang. Pastinya aku harus 'menguruskan' diriku sendiri, lantaran kerjaya seorang doktor yang menuntut banyak masa di hospital. Aku redha andainya jodohku bersama seorang doktor.Ya Allah, kupohon keampunan, kasih sayang, kerinduan dan kecintaan yang amat mendalam terhadapMU. Ku pohon petunjuk dan hidayahMU di setiap saat degupan jantungku. Ku pohon keikhlasan dariMU agar diriku akan sentiasa bersyukur dengan kurniaanMU. Ku jua memohon agar daku sentiasa redha dengan dugaanMU, dan moga perjalanan hidupku dipermudahkan olehMU. Andaikata aku perlu menempuh dugaan, iringilah diriku dengan petunjukMU. Bangkitkanlah daku kembali seandainya aku tersungkur dalam menempuh dugaanMU. Izinkanlah diriku untuk kembali bertapak, melangkah dan bertahan dalam mendepani cabaranMU. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
0 comments:
Post a Comment