Harapanku
>> Sunday, August 29, 2010
Minggu lepas, aku diuji lagi oleh Allah. Mungkin doaku di setiap kali akhir solat dalam sujud terakhir dimakbulkan oleh Allah. Kupinta agar Allah mendekatkan diriku denganNYA, mencintaiNYA setulus hatiku, merinduiNYA sepanjang hayatku. Dan Allah memakbulkan doaku melalui ujianNYA sebagai tanda kasih sayangNYA padaku. Ya Allah, moga dugaanMU ini mendekatkan lagi diriku padaMU.
Harapanku untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana sekali lagi hancur. Ini kali kedua permohonanku berbuah kehampaan. Ini menjadikan diriku pemegang rekod sebagai individu yang paling banyak memohon dan sentiasa gagal. Sedangkan orang lain berjaya dengan hanya sekali percubaan. Ya Allah, tabahkan hambaMU ini. Sesungguhnya aku lemah Ya Allah. Rakan-rakanku terkejut dan tidak percaya dengan kegagalanku ini memandangkan aku adalah calon utama dengan markah tertinggi. Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam soal ini. Apa lagi mewujudkan syak wasangka. Walaupun kudapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dan 'sesuatu yang tidak kena' itu sebenarnya sedikit demi sedikit memunculkan dirinya. Aku malas untuk mengoreknya. Aku tidak mahu mewujudkan ribut di dalam secangkir kopi. Apa lagi 'ribut' di dalam diriku. Aku mahu membiarkannya. Hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.
Kepada sahabatku yang menangisi kegagalanku, terima kasih kuucapkan kerana seringkali menemaniku di sepanjang perjalanan kehidupanku. Doakan kebahagiaanku dan kejayaanku. Aku yakin bahawa Allah telah menjanjikan sesuatu yang terbaik untukku di hujung sana.
Ya Allah, padaMu kupohon keampunan, kekuatan, ketabahan, ketenangan, kedamaian, kecintaan dan kerinduan yang amat mendalam terhadapMu. Dan peliharalah diriku dari berprasangka buruk terhadap hamba-hambaMU yang lain. Jadikan aku seorang yang sabar Ya Allah. Semoga dugaanMU ini mendekatkan lagi diriku padaMU. Amin...
0 comments:
Post a Comment