Masa dan Diriku
>> Sunday, August 22, 2010
Cepat benar masa berlalu. Pejam celik pejam celik ramadhan yang baru kurasakan bermula, kini sudah beralih ke fasa kedua-fasa keampunan. Ya Allah cepatnya masa berlalu. Segera aku teringat pada Surah Al -'Asr, 'Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.' Sesungguhnya Allah telah memberikan peringatan yang amat jelas kepada manusia agar menghargai masa sebaik mungkin, namun masih ramai yang gagal menghargainya, termasuk diriku.
Ketika aku menulis artikel ini, ku terpandang kaki seluarku yang sedikit terangkat apabila aku duduk di kerusi. Masya Allah, stokin dikaki kananku berwarna kelabu dan stokin di kaki kiriku berwarna hitam!. Astagfirullah...apa kena diriku ini. Memang dari minggu lepas kesihatanku agak kurang baik. Sepanjang masa hidungku berair, batuk dan bersin. Mujur tidak demam yang teruk. Sepanjang minggu lepas pelbagai perkara yang berlaku menyebabkanku tersenyum sendirian. He he...
Isnin lepas, sama seperti hari ini-aku memakai stokin yang sama, sebelah hitam dan sebelah lagi putih. Aku tak dapat jelaskan kenapa ia berlaku. Selasa, paling melucukan- aku tertinggal kasut di rumah. Ku keluar dari rumah langsung memandu ke pejabat tanpa kusedari semua kasut pejabatku ditinggalkan di rumah. akibatnya aku hanya memakai selipar sepanjang masa di pejabat dengan stokin. Termasuk menghadiri mesyuarat yang penting di pejabat. Mujur 'big boss' tak perasan. Rabu, aku sampai agak awal di pejabat. Aku tidur seketika menantikan waktu dhuha. Usai solat, aku mencari telefon bimbitku. Masya Allah, aku tertinggal di rumah dalam keadaan sedang di 'charge'. Segera kutelefon rakan serumahku supaya menutup suis. Nombor telefonnya kuperolehi daripada seorang rakan sepejabatku yang kebetulan nombornya masih diingatanku. Dugaan. Khamis, Azril menumpang keretaku untuk ke pejabat. Isterinya, Dalila demam dan alahan pembawakan budak. Jadi dia menumpangku untuk ke pejabat setelah datang ke rumahku dengan menaiki skuter comelnya itu. Di sebelah petangnya, bila sampai di hadapan rumahku-baru kusedar aku tertinggal kunci rumah di pejabat. Aku buntu, kerana kebiasaannya kunci rumah kutinggalkan di dalam kereta. Tersenyum aku petang itu. Segera kutelefon rakan serumahku, dia nyatakan yang dia berbuka puasa si Shah Alam. Azril senyum padaku dan mengajakku berbuka bersamanya. Sebelum itu, Azril terpaksa memanjat pagar rumahku untuk mengambil kunci rumahnya yang ditinggalkan dalam topi keledar. Malam itu ku solat isyak dan tarawikh di masjid berbaju batik!. Jumaat, ku bertolak awal ke pejabat. Mencari kunci rumahku di dalam laci meja sisi. Tiada!. Aku kembali ke kereta mencari sebaik mungkin. Masih juga gagal ditemui.
Hingga ke saat ini aku masih tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa minggu lepas. Ia berpunca daripada diriku yang gagal memanfaatkan masa terluangku untuk mengemas pakaianku sehinggakan aku tersalah memakai stokin yang berlainan. Kemudian, aku gagal menguruskan masaku sehinggakan aku terlewat daripada kebiasaan untuk ke pejabat sehinggakan aku terlupa untuk membawa kasut dan telefon bimbitku. Dan kerana gagal menguruskan masa jugalah aku menjadi kalut sehinggakan aku terlupa di mana telah kucampakkan kunci rumahku.
Ya Allah, adakah aku salah seorang hambamu yang kerugian?.
0 comments:
Post a Comment