Cinta
>> Wednesday, July 8, 2009
Bila disebut pasal cinta, pastinya ramai yang tersenyum. Tidak kurang juga yang mencebik memaparkan kekeruhan riak wajah. Seolah-olah batu besar dilemparkan ke dalam kolam yang tenang. Berkocak keras menghadirkan pekat likat saripati tanah di dasarnya. Apa jua pandangan atau tafsiran, yang pastinya kita sebagai hambaNYA amat memerlukan cinta. Tanpa cinta, takkan lahir kita ke dunia. Kalau tidak masakan Nabi Adam tertarik pada Hawa yang merupakan permulaan cinta manusia!.
Definisi cinta haruslah dipandang dari sudut yang luas kerna cinta itu sendiri mencakupi ruang makna yang tidak terjangkau dek fikiran. Cinta amat berkait rapat dengan kasih sayang. Melalui kasih sayang akan timbul sifat belas, minat, dan keinginan untuk memiliki dan berkongsi. Cinta bukan sahaja tercetus di antara lelaki dan wanita, malahan cinta turut hadir dalam sebuah persahabatan, cinta turut terbit di antara seorang manusia dengan makhluk Allah yang lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
Namun, cinta yang paling 'malar hijau' untuk diceritakan pastinya melibatkan antara dua insan; lelaki dan wanita. Aku jua pernah melaluinya. Acap kali. Namun akan kuceritakan kisah yang benar-benar kurasakan sebagai cinta yang agak serius. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman hidup. Harapnya tidak ada yang terserong pandangan.
Cinta Satu
Aku mengenali cinta seawal usia 8 tahun. Ketika itu aku menetap di selatan tanah air. Jarak yang jauh antara rumah dan sekolah memaksa ibu memerah keringat membanting tulang untuk membiayai pengangkutanku dan jua kakakku ke sekolah. Aku ke sekolah menaiki van bersama teman-teman lain. Suatu hari, ada seorang gadis baru masuk ke kelas ku, Namanya Nur Anisa.. Baru berpindah dari Kuala Lumpur. Cantik. Dengan memakai gaun sekolah biru gelap, rambut bertocang 'ekor kuda', dia berjaya membuatkan setiap mata melirik padanya. Sungguh menawan. He he..Semenjak itu kelas ku seringkali menjadi tumpuan 'abang-abang 'senior', terutamanya pada waktu rehat. Nak dijadikan cerita, Nur Anisa turut menggunakan perkhidmatan van yang sama denganku. Alhamdulillah... ini namanya rezeki. Bukan untuk diriku sahaja, tetapi jua kawan-kawan lelaki seangkatan yang menaiki van tersebut.
Beberapa hari kemudian, aku berpeluang untuk mengetahui lokasi rumah Nur Anisa. Sebenarnya, kebanyakan teman lelaki yang menaiki van tersebut berpeluang. Selepas habis sekolah agama (lebih kurang pukul 6 petang), Abang Man (driver van) akan mengambil kami semua dan mula menghantar ke rumah masing-masing. Rumahku berhampiran dengan rumah Abang Man, sudah semestinya aku dan kakakku orang yang terakhir akan dihantar!. Berbalik kepada Nur Anisa. Kami sebenarnya amat tekun menanti, bilakah Nur Anisa akan turun. Setiap kali Abang Man memberhentikan van, mata kami akan tertumpu pada Nur Anisa. Begitulah selanjutnya. Tapi, Nur Anisa tetap tidak turun. Dan ada antara rakan-rakan lelakiku terpaksa turun dengan hampa. Destinasi mereka sudah tiba!. Aku hanya melambaikan tangan penuh makna. Sebelum turun ramai yang berpesan agar menceritakan lokasi rumah Nur Anisa pada mereka keesokan paginya. Perjalanan diteruskan. Akhirnya Abang Man memberhentikan vannya di halaman rumah Tok Penghulu. Dan tanpa disangka Nur Anisa turun. Iss! takkan anak Tok Penghulu?.
Minggu kedua, Nur Anisa mula menegurku. Dia mula bertanyakan namaku, bergurau senda denganku. Aahh...gembiranya. Kawan-kawanku yang lain mula cemburu. Begitulah seterusnya. Hubungan kami makin erat dari sehari ke sehari. Rupanya Nur Anisa merupakan anak saudara Tok Penghulu. Ayahnya ditukarkan ke Daerah ini dari Kuala Lumpur. Nur Anisa pelajar yang pintar. Selalu mendapat nombor satu setiap kali peperiksaan. Kebiasaannya memang macam itulah - budak perempuan cantik mesti pandai dan dari golongan orang berada!. Aku... dalam rangking 1-15, adalah namaku. Perhubungan kami makin rapat. Selalunya kami akan berbual -bual semasa perjalanan pulang. Dan, Nur Anisa selalu mengambil tempat duduk disebelahku. Aku senantiasa dilanda perasaan senang, gembira, indah dan entah macam-macam lagi yang membuatku tersenyum sendirian, ketika bersamanya. Adakah itu cinta?.
Alhamdulillah, kakakku tidak menyedarinya, ataupun dia pun belum mengerti apa itu cinta!.
Suatu hari, semasa dalam darjah empat, Nur Anisa datang padakku dengan wajah yang muram. Dia menyatakan yang dia akan berpindah ke sekolah lain di Kuala Lumpur. Aku terdiam. Wajahnya makin mendung kemerahan. Aku kehilangan kata-kata. Dan tengah hari itu, Cikgu Halimah (kalau tak silap namanya) mengumumkan pertukaran Nur Anisa. Aku pun sebenarnya sedih. Tidak tahu mengapa!. Jika tidak silap, Nur Anisa ada memberikanku sesuatu sebelum kami berpisah pada petang itu. (Tapi aku lupa apa dia yea?). Dan kalau tak silap ingatanku, dia ada menyatakan yang dia amat berharap untuk bertemu denganku lagi. Dia juga ada mengesyorkan agar aku mengikutinya ke Kuala Lumpur- tinggal bersama keluarganya. Sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku!.
Seperti dirancang, beberapa bulan selepas itu, ibu mengambil keputusan untuk berpindah ke Terengganu. Dan semenjak itu, kami tidak lagi berhubung dan bersua muka. Jika dikenang kembali, kenapalah aku tak ambil alamat Nur Anisa kan??. Itulah, takdir Allah mengatasi segalanya.
Bersambung.......
0 comments:
Post a Comment