Mengapa Solat Di Awal Waktu?

>> Wednesday, July 8, 2009

Semalam, aku menyelongkar peti e-mailku yang makin sarat dengan mail baru yang setia menantiku untuk membacanya. Maaf, memang kebelakangan ini aku terlalu sibuk. Sibuk dengan kerja dan sibuk menenangkan jiwa. He he. Macam serius je bunyinya!. Antara isi e-mailku yang kurasakan amat baik untuk renungan kita bersama. Mungkin sudah ramai yang membacanya, tetapi tidak mengapa. Kita renungkan lagi agar ia terpahat kukuh di sanubari kita.

Mengapa Solat Di Awal Waktu?

Mengapa solat di awal waktu? Apakah kelebihannya? Saudara, Apabila azan dilaungkan maka frekuensi azan akan dirambatkan keserata tempat. Frekuensi azan ini akan menjadikan frekuensi sekitar ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Untuk memahami tentang frekuensi, sila rujuk artikel frekuensi yang saya jelaskan sebelum ini di sini.

Mari bersolat DI AWAL WAKTU secara BERJEMAAH

Saudara, Air merupakan salah satu makhluk Allah yang mampu untuk menurunkan frekuensi gelombang otak ke alpha dengan cepat. Kerana itu apabila kita berada di dalam keadaan marah, kita diminta untuk mengambil wudhuk agar kita menjadi tenang. Begitu juga jika anak menangis. Kita boleh sapukan dengan air sambil meminta izin pada Allah dan berkomunikasi dengan air itu sendiri. Air juga makhluk Allah dan kita meminta bantuan air sepertimana kita meminta pada manusia. Ingatlah semua benda di dunia ini adalah makhluk Allah. Milik Allah. Selain itu, jika kita berada di dalam keadaan stress akibat kerja yang banyak atau juga stress kerana study (baik untuk mereka yang sedang membuat PhD), minumlah air yang banyak. Air boleh menenangkan stress. Mohonlah agar diberi ketenangan daripada Allah kerana Allah adalah pemilik kepada air dan diri kita. Mohonlah juga kepada air atas hubungan sesama makhluk iaitu kita dan air.
Berbalik kepada solat awal waktu. Apabila azan dilaungkan maka azan tersebut mampu menurunkan frekuensi persekitaran ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Apabila kita mengerja solat ketika ini dan ditambah dengan adanya wudhuk, maka frekuensi fikiran kita akan mampu turun sampai ke tahap theta ataupun sekurang-kurangnya alpha yang paling bawah (deep alpha). Ketika ini pastinya menjadi mudah untuk mencapai tahap khusyuk.

Deep theta + Alpha = theta atau deep alpha

Jika kita solat di tengah atau di akhir waktu, maka tenaga frekuensi azan ini telah berkurangan dan mungkin sudah habis. Maka agak sukar sedikit untuk mencapai tahap theta tersebut. Jika kita bersolat di masjid atau surau secara berjemaah, maka lebih kuat frekuensi thetanya kerana dari masjid dan suraulah azan dilaungkan. Sebab itu kita lebih mudah mencapai tahap khusyuk jika bersolat di masjid atau surau di awal waktu. Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak ada sia-sianya.
Saudara, Marilah kita berkomunikasi dengan Allah meminta agar kita sentiasa bersolat di awal waktu. Jika kita malas, atau ada lagi kerja yang ingin dilakukan, maka berkomunikasi dengan Allah dengan memohon keizinan untuk solat lewat waktu. “Ya Allah, aku ingin buat kerja dahulu ya Allah. Aku ingin siapkan sedikit sahaja lagi kerja ini. Aku minta kebenaran padaMu ya Allah. Izinkan aku solat lewat”. PERCAYALAH. Pengalaman saya berkomunikasi dengan Allah sedemikian rupa TIDAK akan membawa kepada apa-apa kejayaan. Hati dan jiwa saya serta tubuh saya secara automatik akan bangun dan terus mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat. Permohonan saya untuk lewat solat sentiasa menemui KEGAGALAN. *** Semoga Allah sentiasa melimpahkan ilmunya kepada kita semua. Ameen.

Read more...

Cinta

Bila disebut pasal cinta, pastinya ramai yang tersenyum. Tidak kurang juga yang mencebik memaparkan kekeruhan riak wajah. Seolah-olah batu besar dilemparkan ke dalam kolam yang tenang. Berkocak keras menghadirkan pekat likat saripati tanah di dasarnya. Apa jua pandangan atau tafsiran, yang pastinya kita sebagai hambaNYA amat memerlukan cinta. Tanpa cinta, takkan lahir kita ke dunia. Kalau tidak masakan Nabi Adam tertarik pada Hawa yang merupakan permulaan cinta manusia!.


Definisi cinta haruslah dipandang dari sudut yang luas kerna cinta itu sendiri mencakupi ruang makna yang tidak terjangkau dek fikiran. Cinta amat berkait rapat dengan kasih sayang. Melalui kasih sayang akan timbul sifat belas, minat, dan keinginan untuk memiliki dan berkongsi. Cinta bukan sahaja tercetus di antara lelaki dan wanita, malahan cinta turut hadir dalam sebuah persahabatan, cinta turut terbit di antara seorang manusia dengan makhluk Allah yang lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Namun, cinta yang paling 'malar hijau' untuk diceritakan pastinya melibatkan antara dua insan; lelaki dan wanita. Aku jua pernah melaluinya. Acap kali. Namun akan kuceritakan kisah yang benar-benar kurasakan sebagai cinta yang agak serius. Sekadar berkongsi sedikit pengalaman hidup. Harapnya tidak ada yang terserong pandangan.

Cinta Satu

Aku mengenali cinta seawal usia 8 tahun. Ketika itu aku menetap di selatan tanah air. Jarak yang jauh antara rumah dan sekolah memaksa ibu memerah keringat membanting tulang untuk membiayai pengangkutanku dan jua kakakku ke sekolah. Aku ke sekolah menaiki van bersama teman-teman lain. Suatu hari, ada seorang gadis baru masuk ke kelas ku, Namanya Nur Anisa.. Baru berpindah dari Kuala Lumpur. Cantik. Dengan memakai gaun sekolah biru gelap, rambut bertocang 'ekor kuda', dia berjaya membuatkan setiap mata melirik padanya. Sungguh menawan. He he..Semenjak itu kelas ku seringkali menjadi tumpuan 'abang-abang 'senior', terutamanya pada waktu rehat. Nak dijadikan cerita, Nur Anisa turut menggunakan perkhidmatan van yang sama denganku. Alhamdulillah... ini namanya rezeki. Bukan untuk diriku sahaja, tetapi jua kawan-kawan lelaki seangkatan yang menaiki van tersebut.

Beberapa hari kemudian, aku berpeluang untuk mengetahui lokasi rumah Nur Anisa. Sebenarnya, kebanyakan teman lelaki yang menaiki van tersebut berpeluang. Selepas habis sekolah agama (lebih kurang pukul 6 petang), Abang Man (driver van) akan mengambil kami semua dan mula menghantar ke rumah masing-masing. Rumahku berhampiran dengan rumah Abang Man, sudah semestinya aku dan kakakku orang yang terakhir akan dihantar!. Berbalik kepada Nur Anisa. Kami sebenarnya amat tekun menanti, bilakah Nur Anisa akan turun. Setiap kali Abang Man memberhentikan van, mata kami akan tertumpu pada Nur Anisa. Begitulah selanjutnya. Tapi, Nur Anisa tetap tidak turun. Dan ada antara rakan-rakan lelakiku terpaksa turun dengan hampa. Destinasi mereka sudah tiba!. Aku hanya melambaikan tangan penuh makna. Sebelum turun ramai yang berpesan agar menceritakan lokasi rumah Nur Anisa pada mereka keesokan paginya. Perjalanan diteruskan. Akhirnya Abang Man memberhentikan vannya di halaman rumah Tok Penghulu. Dan tanpa disangka Nur Anisa turun. Iss! takkan anak Tok Penghulu?.

Minggu kedua, Nur Anisa mula menegurku. Dia mula bertanyakan namaku, bergurau senda denganku. Aahh...gembiranya. Kawan-kawanku yang lain mula cemburu. Begitulah seterusnya. Hubungan kami makin erat dari sehari ke sehari. Rupanya Nur Anisa merupakan anak saudara Tok Penghulu. Ayahnya ditukarkan ke Daerah ini dari Kuala Lumpur. Nur Anisa pelajar yang pintar. Selalu mendapat nombor satu setiap kali peperiksaan. Kebiasaannya memang macam itulah - budak perempuan cantik mesti pandai dan dari golongan orang berada!. Aku... dalam rangking 1-15, adalah namaku. Perhubungan kami makin rapat. Selalunya kami akan berbual -bual semasa perjalanan pulang. Dan, Nur Anisa selalu mengambil tempat duduk disebelahku. Aku senantiasa dilanda perasaan senang, gembira, indah dan entah macam-macam lagi yang membuatku tersenyum sendirian, ketika bersamanya. Adakah itu cinta?.
Alhamdulillah, kakakku tidak menyedarinya, ataupun dia pun belum mengerti apa itu cinta!.

Suatu hari, semasa dalam darjah empat, Nur Anisa datang padakku dengan wajah yang muram. Dia menyatakan yang dia akan berpindah ke sekolah lain di Kuala Lumpur. Aku terdiam. Wajahnya makin mendung kemerahan. Aku kehilangan kata-kata. Dan tengah hari itu, Cikgu Halimah (kalau tak silap namanya) mengumumkan pertukaran Nur Anisa. Aku pun sebenarnya sedih. Tidak tahu mengapa!. Jika tidak silap, Nur Anisa ada memberikanku sesuatu sebelum kami berpisah pada petang itu. (Tapi aku lupa apa dia yea?). Dan kalau tak silap ingatanku, dia ada menyatakan yang dia amat berharap untuk bertemu denganku lagi. Dia juga ada mengesyorkan agar aku mengikutinya ke Kuala Lumpur- tinggal bersama keluarganya. Sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku!.

Seperti dirancang, beberapa bulan selepas itu, ibu mengambil keputusan untuk berpindah ke Terengganu. Dan semenjak itu, kami tidak lagi berhubung dan bersua muka. Jika dikenang kembali, kenapalah aku tak ambil alamat Nur Anisa kan??. Itulah, takdir Allah mengatasi segalanya.

Bersambung.......



Read more...

Kepenatan

Sudah agak lama aku tak 'posting'. Bukannya apa, seminggu dua nie terasa begitu penat. Apa tidaknya, sepanjang minggu lepas setiap hari aku menghadiri mesyuarat. Mesyuarat kat Jabatan aku, Kementerian hinggalah ke Perbadanan Putrajaya. memang terasa sarat otak ini. Berat.!.Tambahan pula longgokkan kerja yang makin menimbun. Semuanya perlu disiapkan segera. Ya Allah, mampukah aku?. Kalau diikutkan hati, memang tak mampu rasanya.

Minggu lepas, sesudah mesyuarat di Putrajaya, aku menelefon sahabatku di Cyberjaya. Alhamdulillah, dia cuti. Yahoo.!. Aku pandu kereta meunuju ke Cyberjaya. Sesudah makan tengahari dan solat zuhur, aku merebahkan diri di ruang tamu rumahnya. Nikmatnya..... angin sepoi-sepoi bahasa. Rumah di tingkat empat itu serasa berada di tepian pantai!. Lena aku dibuatnya.

Sebenarnya, aku bukan sahaja mengalami penat fizikal malahan mental juga. Bila jasad aku dirumah, fikiran aku dihimpit masalah dirumah yang tak berkesudahan. Bila berada di pejabat, aku mual melihat karenah komuniti di sana. Masih segar dalam ingatanku,beberapa hari lepas dalam satu perbincangan. Aku menyatakan pendapatku yang terang-terangan bercanggah dengan pendapat 'Big Boss'. Tak kusangka dia bengang denganku. Kalau diikutkan pendapatku yang dangkal itu, rasanya lebih bermakna daripada buah fikirnya yang panjang meleret tapi entah ke mana. Sesat dibuatnya. Aku bukannya apa - nak memudahkan kerja!. Lagipun aku juga yang kena melaksanakannya. Dia gagal mengawal kemarahannya, lalu dicapai gelas keramatnya itu lalu melangkah keluar dari bilik perbincangan. Itukah sikap seorang ketua?. Itukah yang dinamakan perbincangan?. Itukah namanya profesionalisme?. Entahlah, aku bukannya pandai sangat, tapi aku cuba menyuarakan pendapatku dengan berhemah tanpa melukakan hati sesiapa. Namun, andai ada yang terluka, apakan daya!.

Bos aku pulak sentiasa 'lepas tangan'. ok lah tu. Aku boleh bersabar lagi. Tapi bila dia mintak aku sediakan 'talking point' untuk dia 'briefing' kat 'big boss' pasal projek bahagian yang dia pegang, aku angin satu badan. Nampak sangat tak 'study'. Padahal segala kertas kerja berkaitan dah berbulan aku bagi padanya. Bukannya tebal pun. Tak sampai 10 helai!. Melampau. Macam mana dia nak mempengerusikan mesyuarat kalau dia tak tahu pasal program yang dia nak bentang. Entahlah.... Tak lama kemudian, dia mintak aku sediakan lagi 'talking point' untuk satu lawatan tapak di Putrajaya bagi menjalankan satu aktiviti kerjasama dengan pihak Perbadanan Putrajaya. Aktiviti nie pun aku dah bagi 'paper work' padanya sebulan yang lalu. Aku kehilangan kata-kata. Buntu!.

Tapi aku percaya, semua dugaan itu hanya sementara. Pasti Allah telah sediakan jaluran pelangi untukku setelah aku lalui awan mendung ini. Cuma aku mengharapkan kekuatan untuk melaluinya. Mengharapkan kasih sayangNYA dalam mendepani cabaran ini. Dan ku juga mohon agar aku sentiasa ingat diri ini sebagai insan yang lemah agar aku tidak sewenang-wenangnya meluncurkan perkataan yang tidak sewajarnya dari bibir ini. Sesungguhnya kata-kata kesat itu lebih tajam dari sebilah pedang yang berkilau!.

Read more...

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP