Cerita Ibuku
>> Wednesday, October 13, 2010
Alhamdulillah...syukur masih dipanjangkan usia olehNYA untukku terus mengecapi keindahan alam ini. Sudah lama tidak dapat memperbaharui entri. Bila direnung kembali, ramai juga tetamu yang membaca blogku ini. Alhamdulillah. Semoga ada manfaatnya. Terima kasih kerana meninggalkan 'jejak-jejak' anda. Sesungguhnya komen anda amat-amat dihargai.
Sememangnya kebelakangan ini aku amat sibuk. Bayangkan setiap minggu aku akan 'outstation'. Sekurang-kurangnya aku terpaksa bermalam semalaman. Adakalanya, 'outstation'bersambung ke negeri yang lain pula tanpa sempat kumenjengah seketika ke pejabat. Penat?. Memang penat. Namun, kuambil peluang ini untukku merenung kejadian alam yang amat luar biasa indahnya.
Dua minggu yang lalu, aku dikejutkan dengan panggilan dari kakak sulungku berkenaan kesihatan ibu yang kian meruncing. Pada awalnya cuma demam biasa. Namun, berlarutan hingga ke minggu keempat. Batuk-batuk kecil pada awalnya kian mendesah. Puas dipujuk untuk ke klinik mahupun hospital. Semuanya disambut dengan gelengan lesu. Fikiranku berkecamuk. Jiwaku resah. Bimbang sungguh. Air mata mula bertakung di laman pandangan. Kabur. Lalu setitis demi setitis meluncur membasahi sejadah lewat satu pertiga malam. PadaMu ya Allah daku berserah.
Sesungguhnya kasihku pada ibu tidak dapat dihitung. Ibu telah banyak berkorban untuk membesarkanku. Terlalu banyak dugaan yang menimpa keluarga ku. Namun, ibu tetap tabah membesarkanku adik beradik. Sudah terlalu banyak ibu mengharungi onak dan duri berseorangan untuk menjaga kami. Ibu tidak pernah merungut. Senyuman dan kelembutan senantiasa terpamer pada raut wajahnya setiap kali memandang kami. Amat menenangkan.
Hujung minggu ini, aku akan pulang ke kampung. Menziarahi ibu. Keadaan ibu semakin baik. Ibu sudah bisa ketawa riang di corong telefon setiap kali aku menelefonnya, walaupun masih agak lemah. Demam ibu sudah kebah, namun penyakit 'angin medu' ibu masih belum pulih. Aku berdoa moga ibu akan sembuh untuk mengecapi saat-saat kebahagiaan dan kesenangan hidup kami sekeluarga. Ibu sudah banyak bersusah payah menjaga kami. Kini sudah tiba masanya untuk ibu merasai kesenangan dan kegembiraan.

1 comments:
I am so touched by this! You are a good son, Mahathir. Keep it up.
Post a Comment