Allah dan Kasih Sayang
>> Sunday, June 27, 2010
Allah memperkenalkan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim sebagai sifat-Nya yang pertama kepada manusia. Kenapa sifat ini didahulukan dan dinyatakan kepada hamba-Nya? Agar hamba-Nya merasa tenang dan aman kerana Tuhan yang menciptanya mempunyai sifat-sifat yang begitu indah.
Allah menyuruh kita memperhatikan diri dan segala nikmat-Nya, supaya terpancar pada hati insan benih kasih sayang. Perhatikan kerdipan matamu, sinar matamu yang cantik, hembusan nafasmu, bunyian di telingamu, keenakan rasa di hujung lidahmu, keindahan susunan gigimu dan kedua bibir yang menutupnya, degupan jantung dan mengalirnya darah ke seluruh tubuhmu yang sempurna. Perhatikan sekelilingmu, keluarga, rakan-rakan dan alam. Mereka dicipta agar kamu tiada kesunyian di alam ini.
Sesungguhnya, manusia yang mengenal kasih sayang Allah tidak akan lemah dan kecewa. Ia tidak akan merasa sunyi walaupun seluruh manusia tidak menyayanginya, kerana ia tahu Allah menyayanginya. Allah tidak bersifat membenci hamba-Nya dan Dia sentiasa melimpahkan kasih sayangnya kepada hamba-hamba yang sentiasa merasa berhajat kepada-Nya.
Kepada manusia yang disekelilingnya penuh dengan pujian dan sanjungan orang lain, berhati-hatilah, belum tentu Allah menyayanginya. Apakah makna kasih sayang manusia jika Allah memurkai kita dan apakah makna kebencian manusia sedangkan Allah menyayangi kita?. Sifat pengampun-Nya terhadap apa-apa kesalahan yang dilakukan hamba-Nya, apabila hambaNya mahu keampunan, adalah menggambarkan keagungan kasih sayang-Nya, seolah Dia membisikkan, "Demi kasih sayang Aku kepadamu, Aku akan melupakan segala kesalahan yang engkau lakukan walaupun kelakuanmu benar-benar telah menimbulkan kemurkaan-Ku. Tetapi, apabila engkau datang dengan jiwa kekesalan dan memohon keampunan, hancur leburlah kemarahan-Ku kepadamu wahai hamba-Ku."
Lihatlah pada hukum-hakam-Nya, semuanya adalah gambaran kasih sayang Allah. Cuba perhatikan sifat fitrah insan. Jika sayang kepada sesuatu, pasti dia akan mengawasinya agar tidak rosak. Orang yang menyayangi kereta akan mencipta hukum untuk penjagaan kereta agar tidak rosak. Dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi menjaganya. Begitulah juga dengan ibubapa yang menyayangi anaknya, mereka akan melarang anaknya melakukan perkara yang kadangkala anak-anak itu tertanya-tanya dalam jiwanya, kenapa aku tidak dibenarkan melakukan ini dan itu.
Begitulah juga Allah dengan hamba-hamba-Nya. Kenapa Dia mengharamkan arak, judi? Kerana Dia tidak mahu akalmu rosak, isteri dan anak-anakmu hidup dalam ketakutan. Rumahtanggamu akan hancur, kehidupanmu tiada tujuan dan bercelaru. Kamu pula menjadi hamba kepada hawa nafsu yang membawamu ke dunia khayalan. Allah mengharamkan makanan yang membahayakan kesihatanmu, kerana Allah yang mencipta makanan dan Dia jua yang Maha Mengetahui tentang bahayanya kepada manusia. Dia mengharamkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, supaya perempuan tidak dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab, dan supaya lelaki tidak rosak pertimbangan akal fikirannya. Haram dan halal adalah lambang pengawalan Allah, pengawalan adalah lambang kasih sayang-Nya supaya hamba-Nya tidak dirosakkan oleh syaitan dan nafsu.
Manusia yang menjaga hukum Allah adalah manusia yang mendidik dirinya supaya bebas dari belenggu penderitaan menjadi tawanan nafsu dan syaitan serta alam ini, supaya dia mudah dan tenang ketika mahu meninggalkan alam ini. Di sana (alam akhirat) adalah tempatnya yang kekal abadi. Dalam hal ini, hanya mereka yang memahami rahsia kasih sayang Allah sahaja yang dapat memandang kenikmatan yang menantinya, lantaran mujahadah pada nafsunya ketika hidup di alam ini. Sesungguhnya amat besar kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya. Justeru, belajarlah menyayangi Tuhanmu untuk mendapat kasih sayang-Nya.
0 comments:
Post a Comment