Malaikat Kecil

>> Monday, July 26, 2010


Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu, dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain. Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam, suasana menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata, "Ayah! Saya dah bersedia". Ayahnya terkejut dan berkata, "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah". "Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat". "Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"Ayahnya menambah,"Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini". Dengan merintih anaknya merayu ,"Benarkan saya pergi ayah". Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!."Terima kasih Ayah". Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" adapada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.


Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah tersebut, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah tersebut diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?". Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi."Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut.


Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya, "Ada sesiapa ingin menyatakan sesuatu."Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini". Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. "Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga turun. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapapun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi"."Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu". "Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik". Itulah kata-kata yang paling indah yang pernah saya dengar".


"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus membaca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula di tempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi"."Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka". Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!. Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.
Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang.

Read more...

Andainya Cinta Itu Hendak Diberi

>> Sunday, July 25, 2010



Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang;


1.Kuat Pengamalan Agamanya

Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu. Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan. Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.


2. Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda; "Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya, nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."


3. Tegas Mempertahankan Maruah
Apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.


4. Amanah Selidiki

Apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.


5. Tidak Boros

Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.


6. Tidak Mengelingas Matanya

Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.


7. Terbatas Pergaulan

Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.


8. Siapakah Rakan Pergaulannya

Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.


9. Bertanggungjawab

Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah, dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.


10. Tenang wajahnya

Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.


Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat. Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah

Read more...

Tips Kebahagiaan Diri

>> Thursday, July 22, 2010


PERTAMA. Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.


KEDUA. Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting apabila usia semakin tua.


KETIGA. Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu.


KEEMPAT. Apabila kamu berkata, " Aku Cinta Padamu", maka tunaikanlah.


KELIMA. Pabila mengatakan, "Maaf", tenunglah matanya.


KEENAM. Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.


KELAPAN. Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.


KETUJUH. Percayailah cinta pandang pertama.


KESEMBILAN. Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya cara untuk melengkapkan kehidupan ini.


KESEPULUH. Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.


KESEBELAS. Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.


KEDUA BELAS. Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.


KETIGA BELAS. Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya,"Kenapa anda ingin tahu?".


KEEMPAT BELAS. Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.


KELIMA BELAS. Ucaplah "Semoga anda diberkati" apabila mendengar seseorang bersin.


KEENAM BELAS. Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.


KETUJUH BELAS. Berpeganglah kepada tiga R: Rasa hormat pada diri sendiri; Rasa hormat kepada orang lain; Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda.


KELAPAN BELAS. Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar.


KESEMBILAN BELAS. Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.


KEDUA PULUH. Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.


KEDUA PULUH SATU. Ada ketikanya anda perlu bersendirian

Read more...

Renungan Bersama

>> Wednesday, July 21, 2010




Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang. Allah mendengar.


Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat 'Mr. Right', daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak?. Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?.

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?.

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Allah dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. '

Seorang teman pernah berpesan..'Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari.. Dia datangkan petir dan kilat.. kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar.. Rupa-rupanya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..' '

`Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada...`

Read more...

Kepenatan

>> Tuesday, July 20, 2010

Pagi yang amat indah. Bermula dengan gerimis lembut kemudian diikuti dengan curahan hujan yang lebat membasahi alam di sepanjang perjalananku dari rumah ke Kuala Lumpur. Udara terasa segar dan menyamankan. Terasa hilang segala kepenatan yang kurasakan kesan daripada permainan badmintonku semalam. Permainan yang kulalui sehingga hampir 3 jam amat melelahkan, sementelah malam sebelumnya tidurku tidak senyenyak biasa. Sukar untuk tidur mungkin lebih tepat lagi.

Hujung minggu ini, aku akan menerima 'housemate' baru seorang doktor. Alhamdulillah, berkurang sedikit sewa rumah yang perlu kubayar. He he..hari ini, bosku outstation, abang Zaimi yang sering menyakatku juga outstation. Yahoo...merdeka..Harap-harapnya hari ini akan menjanjikan seribu kebahagiaan buatku. Ingin kubereskan semua kerja-kerjaku hari ini. Itu azamku. Moga tercapai.

Kubuka tirai jendela ditepi mejaku, menikmati alam yang terbentang luas. Banjaran titiwangsa yang memagari bumi Kuala Lumpur hilang diselubungi kabus yang menebal. Indahnya suasana alam ciptaan Tuhan. Melihatkan suasana sekitar aku ramalkan hujan akan turun sebentar lagi dan mungkin larut hingga ke petang. Bumi Kuala Lumpur akan disirami lagi. Moga perjalanan pulangku petang ini lancar, tidak tersangkut dalam kesesakan. Itu doaku. Moga termakbul. Hari ini, aku ingin menikmati suasana alam didepan mataku sepuas-puasnya. Ingin kuhayati suasana hujan diluar sana. Moga tidak ada yang menganggu kerana aku benar-benar kepenatan!.

Read more...

Merenung Senja

>> Sunday, July 18, 2010


Sudah lama rasanya aku tidak menulis di ruangan ini. Kebanyakan artikel yang aku paparkan kebelakangan ini adalah merupakan artikel yang kutemui lewat pembacaanku sebelum ini. Kusimpan ia dalam koleksiku. Hari ini Ahad, 18 Julai 2010. Esok aku kembali bekerja. Pantas sungguh masa berlalu. Banyak perkara yang dirancang, langsung tak dilaksanakan. Jumaat yang lalu, aku menghabiskan malam ku dengan bermain futsal bersama rakan sepejabat. Semalam, kuhabiskan masa petang ku dengan mengunjungi rumah nenek rakanku di Rembau. Menikmati suasana dan udara desa yang nyaman, sambil mulut tak henti-henti mengunyah rambutan dan langsat yang dihidangkan. Segar dari ladang. Ha ha...

Semalam dan hari ini, cuaca agak mendung dan diselang-seli dengan rintik gerimis, seterusnya butiran hujan yang kasar. Aku menghabiskan masaku di rumah. Tidur, bangun, makan, membaca, tengok tv. Sungguh membazir masa. Sebenarnya sehari dua kebelakangan ini, aku rasakan rindu pada seseorang. Aku rasakan ingin memiliki dan dimiliki. Aku juga rasakan ingin disayangi dan menyayangi. Adakah aku dilamun cinta?. Apakah ini petanda istikharahku tentang pemilihan jodoh berjawab?. Adakah doa-doaku kepada Allah di setiap kali usai solatku bersambut?. Mungkin...Kuserahkan padaMu ya Allah.

Aku memberi ruang pada diriku sebenarnya. Masa yang tinggal kurang dari sebulan, sebelum kunyatakan rasa hatiku pada empunya diri. Aku bimbang, setelah aku melafazkan niat hatiku, makin ramai calon-calon yang berkunjung dalam hidupku. Aku bimbang, ketika itu aku rabun mata dan hati sehingga lafaz cintaku sebelum ini tidak lagi bermakna buatku. Sebagai lelaki, aku tidak menafikan rupa paras seorang wanita amat memainkan peranan dalam membuat pemilihan. Itulah yang aku bimbangkan. Dan aku dapat merasakan, dugaan itulah yang bakal aku hadapi. Aku bimbang. Aku pohon padaMu ya Allah agar memelihara diriku.

Satu lagi masalahnya adalah soal kewangan. Aku tidak nafikan sebelum ini aku dimurahkan rezeki oleh Allah. Namun, aku seringkali lupa untuk memanfaatkannya sebaik mungkin. Dan setahun dua ini, aku diduga oleh Allah dengan pelbagai masalah yang agak rumit sehinggakan aku seringkali hilang pertimbangan. Dan ada antaranya menyebabkan aku tersalah membuat pilihan. Dan akhirnya aku menanggung beban. Namun, ku yakin Allah meyediakan sesuatu yang terbaik untukku di sebalik dugaan ini. Moga dapat kutempuhi dugaan ini dengan hati yang lapang dan berserah sepenuhnya pada Dia.

Dan petang ini, hujan turun dengan lebatnya. Aku habiskan masa diluar rumah sambil menghela desahan nafas yang kian memenuhi ruang dada. Lega. Kurebahkan punggungku di atas tempat duduk motor rakan serumahku. Kurenung keretaku..Arghhh...hasrat membersihkan kereta, sekali lagi terbengkalai seperti minggu-minggu yang sudah. Aku senyum sendirian. Pengurusan masaku makin tidak keruan. Disiplin diriku makin longgar. Kuhalakan pandangan ke hadapan. Merenung hujan di kala senja menjelang. Mungkinkah hujung minggu hadapan akan kulunaskan segala kerja-kerja terbengkalaiku?. Entah, hanya Allah yang tahu. Azan maghrib berkumandang. Menambahkan lagi kesyahaduan merenung senja dari halaman...

Read more...

Kunci Kejayaan

>> Thursday, July 15, 2010


Kadang-kala, di dalam perjalanan hidup yang berliku mengejar cita-cita, ada sahaja halangan dan dugaan yang mendatang. Diri mula terasa lemah, jiwa mula terasa gelisah, hati tidak tenang, fikiran menjadi tidak tentu arah. Namun, itu semua harus dilalui, kerana matlamat akhir, iaitu kejayaan yang ingin dimiliki. Diri ditarbiah, dimotivasikan untuk mendapatkan kembali semangat baru untuk bergerak maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Kegagalan silam dijadikan kunci kejayaan yang mendatang. Tetapi, mampukah semangat ini terus dinyalakan di dalam diri?. Agar tidak padam seperti dahulu tatkala diri ditimpa dugaan sekali lagi. Ingatlah, jangan sesekali berputus asa. Jangan sesekali mensabotaj diri sendiri dengan mengatakan bahawa diri tidak mampu mengharungi dugaan-dugaan itu. Ingatlah, Allah S.W.T. tidak menurunkan sesuatu dugaan itu kepada hamba-hambanya jika hamba-hambanya tidak mampu menghadapinya.


Antara salah satu kaedah atau tindakan yang boleh diambil untuk terus menyemarakkan api perjuangan di dalam diri adalah, dengan menjadi seorang insan yang istiqamah. “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan Tuhan kami adalah Allah, kemudian,mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tiada (pula) berduka cita.” ( Surah Al-Ahqaaf: 13). Latih diri dalam menjadi seorang yang insan yang istiqamah dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Kenali diri, sayangi diri, dan letakkan matlamat jangka panjang. Antara cara-cara yang boleh dipraktikkan untuk menjadikan diri seorang insan yang istiqamah dan secara tidak langsung, lebih berjaya dan disayangi yang Maha Esa adalah:


1) Menjaga hubungan dengan Allah S.W.T Jagalah ibadat-ibadat wajib dan seelok-eloknya, perbanyakkanlah ibadat-ibadat sunat.


2) Masukkan matlamat di dalam doa Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar.


3) Mulakanlah pekerjaan dengan berdoaBagi yang masih belajar, mulakan belajar dengan berdoa dan seelok-eloknya, duduk menghadap ke arah kiblat.


4) Berterusan dalam mencari ilmuHal ini kerana, ianya dapat memberi semangat kepada diri untuk terus berusaha.


5) Amalkanlah perkara-perkara yang dapat menarik hidayah Allah S.W.TContohnya, solat berjemaah, membaca Al-Quran dan saling memaafkan sertakasih-mengasihi sesama manusia.


6) Kenali diri, Ubah sikap-sikap yang negatif kepada positif.


7) Menolong insan lain untuk berjayaInsyaAllah, Allah akan pula menolong kita untuk berjaya. Allah akan menolong hamba-hambanya selagi mana hamba-hambanya menolong antara satu sama lain.


8) Iklankan matlamatTampal atau tulis matlamat tersebut dipapan kenyataan tempat belajar kita, agar dapat dibaca selalu, seterusnya dapat mengingatkan diri dan memberi semangat untuk kita terus berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.


Allah sayang akan hamba-hambanya yang istiqamah di dalam pekerjaan. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah. “ Katakanlah, hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..” (Surah Al-Zumar:53) Berusaha sebaik mungkin dan kemudian bertawakallah kepada-Nya. Istiqamah dalam pekerjaan dan berjuanglah selagi masih ada peluang yang diberikan. Kuatkan semangat. Apa yang penting adalah usaha dan tawakal, insyaAllah kejayaan yang dicari-cari selama ini mampu dimiliki.

Read more...

Kekuatan Tanpa Kekerasan

>> Wednesday, July 14, 2010


Kisah ini mempunyai kaitan dengan keluarga Mahatma Gandhi di India.. bayangkan suasana yang bersesuaian....Waktu itu, saya masih berusia enam belas tahun dan tinggal bersama orang tua di sebuah kediaman yang didirikan oleh kakak saya, di tengah-tengah kebun tebu, lapan belas kilometer di luar kota Durban, Afrika Selatan. Kami tinggal jauh di pedalaman dan tidak memiliki tetangga. Tidak hairanlah apabila saya dan dua saudara perempuan saya sangat seronok tatkala berkesempatan keluar ke kota untuk mengunjungi teman atau menonton wayang.


Pada suatu hari, ayah meminta saya menghantarnya ke bandar untuk menghadiri satu persidangan yang diadakan selama sehari penuh. Saya sangat gembira. Ibu telah mengirimkan saya beberapa barang untuk dibeli. Ayah juga menyuruh saya membaiki keretanya di bengkel. Pagi itu, setibanya di tempat bersidang, ayah telah berpesan, “Ayah akan tunggu kamu di sini pada pukul 5 petang. Kemudian,kita akan pulang ke rumah bersama-sama.”


Setelah saya membelikan kiriman ibu di pasar raya, saya menuju pula ke bengkel untuk melihat apa yang tidak kena dengan enjin keretanya yang terhenjut-henjut semasa dalam perjalanan tadi. Menurut mekanik, ia mungkin mengambil masa untuk menyiapkannya. Sementara menunggu kereta siap dan jam pula menunujukkan pukul 12 tengahari, saya telah mengambil keputusan untuk menonton wayang. Saya benar-benar terpikat dengan dua aktor filem pujaan saya sehinga lupa akan waktunya. Jam di tangan menunjukkan pukul 5.30 petang.


“Ayah!” Saya tahu dia pasti marah kerana terpaksa menunggu. Saya pun apa lagi terus ke bengkel dan terburu-buru menjemput ayah. Saat itu sudah pukul 6.30 petang.“Kenapa kau lambat?” tanya ayah. Saya sangat malu untuk mengakui bahawa saya sebenarnya menonton wayang. Lalu saya menjawab “Kereta lambat siap ayah”. Padahal, tanpa pengetahuan saya, rupa-rupanya ayah telah menelefon ke bengkel berkenaan. Pecahlah rahsia. Lalu ayah berkata, “Ada sesuatu yang salah dalam membesarkan kau sehingga kau tidak memiliki keberanian untuk menceritakan kebenaran kepada ayah. Bagi menghukum kesalahan ayah ini, ayah akan berjalan kaki pulang ke rumah sambil memikirkan perkara itu sebaik-baiknya.” Sehabis berkata demikian, ayah mulai berjalan kaki pulang ke rumah. Saya tidak berani membantah kata-katanya.


Hari sudah gelap waktu itu. Saya tidak sampai hati meninggalkan ayah. Maka selama lebih kurang dua jam setengah, saya membawa kereta perlahan-lahan di belakang ayah sambil merana melihat penderitaan ayah hanya kerana pembohongan bodoh itu. Sejak itu saya tidak pernah berbohong. Sekiranya ayah menghukum saya, saya akan menderita atas hukuman atau kekerasan yang diberikan dan mungkin akan melakukan hal yang sama lagi. Tetapi, hanya dengan satu tindakan tanpa kekerasan yang sangat luar biasa, sehingga saya rasakan kejadian itu baru sahaja berlaku kelmarin. Itulah kekuatan tanpa kekerasan. Awak faham kan? Jadi fikir-fikirkan lah…

Read more...

Renungkanlah...

>> Tuesday, July 13, 2010


"Nurse,boleh saya tengok bayi saya?"ibu muda yang baru bersalin itu bersuara antara dengar dengan tidak kepada seorang jururawat. Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu menyambut dengan senyuman meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel itu,diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuannya. Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga. Namun gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan pendengaran bayi itu normal, sesuatu yang cukup menggembirakan si ibu.


Masa terus berlalu...Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu bagaimana dia diejek rakan-rakan."Mereka kata saya cacat," katanya kepada si ibu. Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan muncul sebagai pelajar cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu terus memujuk. Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. Ayah kanak-kanak itu tidak mahu anaknya terus merasa rendah diri dengan keadaan diri yang cacat. "Saya yakin dapat melakukannya jika ada penderma," kata pakar bedah. Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban. Setahun berlalu..."Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan," kata si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa rendah diri yang kerap dialaminya hilang. Rakan-rakan memuji kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak mengabaikan pelajarannya.


Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat jawatan tinggi dalam bidang diplomatik. "Sebelum berangkat ke luar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya ingin membalas jasanya," kata si anak berkali-kali. "Tak mungkin," balas si ayah."Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan.Tunggulah,masanya akan tiba.""Bila?" tanya si anak."Akan tiba masanya anakku," balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk. Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya. Hari yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku. Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada. "Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya," si ayah berbisik ke telinga anaknya."Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat,dia tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang pernah ayah temui. Tak percaya...tanyalah pada sesiapa pun kenalannya."


P/s:Kecantikan seseorang bukan terletak pada fizikal tetapi di hati.Cinta sejati bukan pada apa yang dilakukan dan dihebah-hebahkan tetapi pengorbanan tanpa diketahui. Selagi ibu kita ada di dunia ini, ciumlah dia, ciumlah tangannya, sentiasa minta ampun darinya, berikan senyuman kepadanya, bukannya dengan bermasam muka, kasih ibu tiada tandingannya, ingatlah SYURGA DI BAWAH KAKI IBU, penyesalan di kemudian hari tidak berguna, selagi hayatnya masih ada, curahkanlah sepenuh kasih sayang kepadanya, 'I LOVE U MOM'.

Read more...

Bila Kesunyian Datang

>> Monday, July 12, 2010


Mungkin kita pernah merasakan kesunyian melanda sanubari. Apabila ini terjadi, kita pasti merasa diri kita ini amat hampa, ada yang seakan hilang entah ke mana atau pergi mengembara jauh ke sana. Hati merasa begitu terseksa sehingga di malam hari pun kita selalu terjaga. Bila hal itu terjadi tatkala kita merasa tidak seorang pun yang dapat memahami kita, tidak ada tempat untuk berkongsi cerita, berkongsi duka dan berkongsi rasa. Hidup akan merasa semakin terseksa hingga tidak lagi bermakna. Bila itu yang kita rasakan, mungkin ada yang selama ini kita lupakan. Bahawa ketika kita sedar dari mimpi dan termanggu dalam kesunyian, di saat itu sebenarnya Allah ada bersama kita. DIA selalu memantau dan menemani kita dengan kasih sayang yang begitu dalam. DIA akan selalu menemani tidur kita yang sepi dan menjaga diri kita yang lemah ini.


Namun, hal itu hanya akan terjadi bila kita mahu meyakini bahawa Allah itu benar adanya dan tentunya nama-Nya sudah termateri di hati kita. Dengan kata lain, kita mahu mengimani dan mencintai-Nya dengan sepenuh jiwa. Pernahkah kita menyedari hal ini? Allah telah memberikan kita begitu banyak nikmat dan anugerah kepada kita maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kita dustakan? Allah telah membuat hati yang muram menjadi tenang, yang suram menjadi bercahaya dan yang kerdil menjadi raksasa. Sepertinya kita tidak boleh larut dalam kesedihan, kerana boleh jadi Allah menganugerahkan rasa sepi dalam hati kita untuk menguji betapa kuat cinta kita. Sehingga dengan sepi itu kita mampu untuk lebih khusyuk untuk mendekati-Nya. Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya orang mukmin itu adalah orang yang luar biasa, seluruh perkara dalam hidupnya adalah baik baginya. Ketika mendapat kemudahan ia bersyukur.Itu adalah baik baginya dan apabila ia ditimpa kesulitan maka dia bersabar dan itupun juga adalah baik baginya.”

Read more...

Persiapan Memulakan Rumahtangga

>> Thursday, July 8, 2010


Persiapan untuk membina Bait Muslim merangkumi persiapan secara zahir dan batin, persiapan jasadiah, aqliah, rohaniah dan syu'uriah. Sudahkah bersedia? Persediaan tidak mestinya bersedia 100%, tetapi cukup dengan persediaan yang memadai. Persiapan yang memadai itu subjektif. Penilaiannya tergantung kepada kebijaksanaan kita. Baki persediaan yang belum siap disediakan boleh dibuat sepanjang jalan menuju hari pernikahan atau selepas pernikahan. Persediaan dan pembaikan diri hendaklah dilakukan bukan bermula jauh sebelum hari pernikahan dan tamat di majlis akad nikah sahaja tetapi ia berlangsung dan tidak akan pernah berhenti hingga suatu noktah yang pasti iaitu mati. Cuma persediaan sebelum hari pernikahan perlulah lebih intensif untuk mencapai peratusan persediaan yang memadai.


Persediaan material?Persediaan material penting kerana realitinya kita hidup di zaman materialistik. Mahu tidak mahu memang kita terpaksa menghadapi realiti dunia ini. Walaupun secara teorinya kita boleh memilih untuk melangsungkan pernikahan dan majlis pernikahan kita secara yang ringkas sahaja, tetapi ianya hanya satu kenyataan yang tidak mudah untuk dilaksanakan. Ya, memang kita mahu mudah dan ringkas, tidak membazir, serta menggunakan kekayaan untuk hal lain yang lebih penting contohnya seperti infaq untuk belanja dakwah, tarbiah atau derma kepada rakyat dan mujahidin Palestin. Tetapi hakikatnya perjalanan hidup kita tidak ditentukan oleh diri kita sendiri sahaja. Umumnya kita yang menentukan perjalanan hidup kita tetapi proses ke arah membuat keputusan itu bukan dibuat oleh kita sahaja. Keputusan yang dibuat melibatkan orang-orang lain yang mempunyai kuasa atau setidak-tidaknya pengaruh ke atas kita atau hubungan istimewa dengan kita yang menyebabkan tidak sopan untuk kita tidak mengendahkan atau menolak ke tepi atau tidak mempertimbangkan langsung pandangan, cadangan, kehendak dan suruhan mereka. Mereka boleh jadi ibu bapa kita (yang mempunyai kuasa atas kita), dan sanak saudara kita (yang mempunyai hubungan istimewa dengan kita dan secara adabnya kita mesti menghormati mereka). Namun jika kita berpegang pada prinsip keseimbangan, insyaAllah kita tidak akan terlalu mudah terlarut dengan desakan mereka hingga berlaku pembaziran dan di sisi yang lain kita tidak akan terlalu berkeras dalam pendirian kehendak kita hingga mengguris hati mereka. Mereka adalah orang-orang yang dekat dan berkait dengan kita. Kita tidak boleh selesa dengan banyaknya material kerana mungkin ianya tidak cukup.


Kita juga tidak boleh terlalu takut jika kita tidak mempunyai banyak harta. Persoalan utama dalam menjayakan Bait Muslim ini bukan pada banyak atau sedikitnya harta tetapi pada bagaimana kita akan mengurus harta itu?. Jika kita mengurus berdasarkan prinsip yang utama diutamakan dan yang tidak penting dikebelakangkan atau dilupuskan terus dari senarai. Insyaallah material kita akan terguna secara baik dan memadai tidak kiralah ianya banyak atau sedikit. Oleh itu, tidak pelik apabila kita melihat orang yang kurang material daripada kita telah dapat berkahwin dan hidup bahagia, sedang kita yang banyak material masih merasa tidak cukup dengan apa yang sudah kita ada. Ia bukan pada banyak dan sedikitnya harta tetapi bergantung kepada cara menguruskannya. Sekalipun banyaknya material tidak menjadi syarat untuk memulakan Bait Muslim, tetapi material mestilah mencukupi untuk memulakan Bait Muslim. Tidak kisah sama ada ia banyak atau sedikit kerana yang penting ia mencukupi. Apa ukuran mencukupi? Ia subjektif. Banyaknya harta cenderung untuk mencapai status ‘cukup' material. Tetapi berapa banyak orang yang ada banyak harta tetapi hartanya itu tidak cukup-cukup untuk menampung hidupnya. Masalah ini disebabkan oleh sikap dan cara kita mengurus harta.


Sedikit harta cenderung untuk mendapat status ‘tidak cukup' material tetapi berapa banyak orang yang sedikit hartanya dapat hidup sejahtera, baik dan bahagia. Pokoknya bukan pada sedikit atau banyaknya harta, tapi pada bagaimana mengurusnya. Jika ternyata harta ada sedikit dan memang terbukti tidak mencukupi, bagaimana pula? Bukankah Islam menyuruh untuk berusaha. Jika berusaha yang sedikit jadi banyak dan yang tidak cukup akan jadi cukup, insyaAllah. Yang tidak ada bukan rezeki. Rezeki telah dijanjikan Allah untuk setiap mahkluknya. Tetapi rezeki tidak datang bergolek. Yang tidak ada, yang perlu diadakan dan yang perlu dibuat ialah USAHA. Dengan berusaha, insyaAllah akan dapat rezeki dan akan cukup material. Nak usaha apa? Itu pun masih terbuka luas peluangnya. Yang penting, mahu berusaha dan terus berusaha. InsyaAllah rezeki akan datang, baik bergolek, melayang, berjalan atau berlari. Persediaan akal?Persediaan akal meliputi pemilikan pengetahuan. Pengetahuan yang sepatutnya ialah pengetahuan yang merangkumi seluruh aspek kehidupan Bait Muslim. Bukan pengetahuan dalam aspek tertentu sahaja seperti pengetahuan ibadat sahaja atau pengetahuan membesarkan anak sahaja atau pengetahuan mencari harta sahaja. Ya, memang banyak yang nak kena diketahui. Di sinilah kemahiran pengurusan pengetahuan sangat diperlukan.


Ilmu yang diperlukan untuk diguna dalam masa terdekat perlulah dicari dan dipelajari segera. Ia perlu diutamakan untuk dipelajari berbanding ilmu-ilmu lain yang masih belum sampai masa untuk menggunakannya. Ilmu yang tidak diperlukan dalam masa terdekat disimpan dulu sebagai niat baik yang penuh dengan keazaman serta dicatat dalam senarai perancangan ilmu untuk dipelajari nanti. Utamakan pelajaran ilmu yang penting berbanding pelajaran ilmu yang tidak seberapa penting. Dalam masa terdekat dengan tarikh pernikahan, ilmu dalam banyak bidang rumah tangga diperlukan. Sebagai bakal suami, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab suami diperlukan. Sebagai bakal isteri, ilmu tentang peranan dan tanggung jawab isteri diperlukan. Selain ilmu tentang peranan, ilmu tentang hak juga perlu diketahui, seperti hak suami dan hak isteri. Walau bagaimana pun, untuk kebahagiaan rumahtangga kesungguhan kepada melaksanakan peranan dan tanggung jawab masing-masing jauh lebih penting daripada kesungguhan menuntut hak masing-masing. Ilmu tentang hak adalah untuk mengelak daripada dizalimi sahaja. Ilmu tentang peranan pula adalah untuk memastikan kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah kita dengan adil dan sempurna. Jika kedua-dua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta memberikan dan menjaga hak pasangan masing-masing, insyaallah kehidupan akan aman dan bahagia.


Banyak lagi bidang-bidang ilmu yang perlu dipelajari contohnya ilmu mencari nafkah zahir, ilmu membelanjakan nafkah, ilmu nafkah batin, ilmu komunikasi dalam rumah tangga, ilmu tentang peribadi pasangan, ilmu keselamatan, ilmu kesihatan, ilmu kepenggunaan, ilmu ibadat dan ilmu akhlaq. Pelabagai cara untuk mencari ilmu tetapi yang paling senang ialah dengan membaca. Membaca yang dimaksudkan bukanlah membaca bahan bacaan sebarangan, tetapi membaca bacaan yang memang tepat untuk dibaca. Bagaimana mengetahui tepat atau tidak untuk dibaca? Buatlah penilaian, bertanyalah kepada orang yang lebih berpengalaman dan mintalah cadangan daripada yang pakar. Selain membaca, perkongsian pengalaman dan dialog lewat perbualan biasa juga sangat bermanfaat.


Persediaan rohani? Sebelum sampainya tarikh pernikahan, atau jika tarikh pernikahan telah berlalu tetaplah terus melatih diri dengan menyemai dan menyuburkan sikap yang baik dan membuang sikap yang buruk dalam diri. Biarlah sikap baik tumbuh menggantikan tempat sikap buruk. Pada masa bujang, sikap yang baik mungkin senang kita amalkan dan sikap buruk kita pula tidak menjelma keluar kerana tidak pernah diusik sesiapa. Sikap buruk mungkin ada, tetapi ia tersimpan rapi kerana tidak ada ujian atau cubaan yang mengganggunya. Tetapi, apabila sudah berkahwin, banyak ujian dan dugaan hadir dalam hidup sehingga ia mengganggu sikap buruk yang selama ini terpendam dan kita akan mendapati banyak sikap buruk pada diri kita selepas kita menikah. Oleh itu, latihlah diri kita dengan sikap baik setiap masa dan bersungguh-sungguh bersikap baik agar pada saat genting atau saat keletihan selepas kita telah bernikah, iaitu saat kita benar-benar menjadi diri kita yang sebenar, saat kita benar-benar diuji dengan cubaan berat, sikap-sikap baik itu tidak tertanggal dari diri kita, masih melekat pada kita dan kita masih ber'amal dengannya seperti biasa biarpun kehidupan kita telah berubah, contohnya kita menjadi makin sibuk, atau makin penat, atau makin banyak cabaran hidup mendatang. Maklumlah kalau semasa bujang, kita hanya mengurus diri kita sendiri maka kita tidaklah terlalu sibuk dan tidaklah terlalu penat. Tetapi apabila kita telah bernikah kita telah megurus dua orang manusia yang berlainan jantina dan berlainan latar belakang kehidupannya. Pastilah kita menjadi lebih sibuk dan lebih penat. Oleh itu, latihlah diri kita membuang sikap-sikap buruk dalam diri kita sementara kita belum bernikah. Kalaupun kita telah bernikah, teruskanlah istiqomah membuang sikap-sikap buruk dalam diri kita.


Sikap buruk kita boleh jadi pelbagai dan banyak, tetapi boleh jadi juga beberapa dan sedikit. Tetapi pokoknya kita tidak mahu sikap buruk ada pada diri kita biarpun satu kerana satu sikap buruk sekali pun mempunyai risiko yang besar untuk mengganggu gugat kebahagiaan rumah tangga apatah lagi banyak sikap buruk yang kita miliki. Contoh sikap buruk ialah sangat mudah berprasangka buruk, hasad, tidak mahu mengalah, cemburu buta tuli yang melampau, terlalu sensitif atau manja, pemarah dan pendendam. Jika pada masa bujang lagi kita telah ada banyak sikap buruk, maka buanglah cepat-cepat kerana sesudah menikah ia lebih senang berkembang dengan subur berbanding masa bujang sebelum kahwin. Membuang sikap buruk bukan mudah, malah susah dan memakan masa. Tetapi kesusahan itulah mujahadah. Oleh sebab itu, teruslah bermujahadah membuang sikap buruk selepas nikah dan sekalipun telah lama bernikah. Perubahan itu mungkin walaupun susah. Disebabkan ia memakan masa, maka ia perlulah dibuang segera bermula sekarang. Sekalipun jika masa bujang kita hanya ada beberapa sikap buruk saja, janganlah beranggapan ia sedikit dan boleh dibuang dengan senang apabila mendekati tarikh pernikahan atau setelah menikah. Setelah menikah, ia bukan lagi medan masa yang utama untuk membuang sikap buruk. Ya, tidak dinafikan membuang sikap buruk masih perlu dan masih boleh dibuat selepas pernikahan, tetapi ia bukanlah lagi medan fokus utama setelah menikah. Banyak lagi kerja lain yang lebih penting yang perlu dibuat. Membuang sikap buruk menjadi kerja sampingan saja kerana banyak lagi kerja lain yang lebih utama yang perlu diutamakan.


Menunggu masa selepas menikah untuk bermula membuang sikap buruk adalah perjudian yang sangat besar risikonya kerana peluang membuang sikap buruk tidak secerah sebelum menikah lagi sekalipun peluang itu masih ada. Selepas kahwin, peluang itu masih ada tetapi sempit. Sebelum kahwin, peluang itu memang ada dan luas. Pilihlah antara peluang yang ‘masih ada' atau ‘memang ada', dan pilihlah antara sempit dan luas. Jika anda belum menikah, manfaatkanlah masa bujang ini sebaiknya untuk membuat persiapan dan apa yang perlu. Uruslah masa anda dengan bijak. Jangan biarkan sesaat pun masa anda terbazir dengan hal tidak berfaedah, kelak selepas kahwin anda akan menyesal. Selepas mati anda lagi menyesal kerana akan ditanya di sana. Sudahkah anda bersedia? Untuk berkahwin dan untuk menjawab di Padang Mahsyar.

Read more...

Miskin Cinta dan Kasih Sayang

>> Thursday, July 1, 2010


Masyarakat kini miskin cinta. Cinta mereka hanya terbatas pada orang, kaum dan benda tertentu. Bila disebut pemuda, maka dia semestinya seorang yang akan mencintai gadis. Bila disebut orang kaya, dia perlu mencintai harta. Maka setiap haluan hidup ditujukan pada yang tercinta. Bila kasih sayang 100% untuk kekasihnya, hartanya, dan jawatannya, orang lain tidak lagi penting dalam hidup. Cintailah semua orang, kerana cinta itu tidak terhad. Bila saja berhadapan dengan orang yang dicintai, orang lain dilihatnya seperti batu dan tunggul. Bila diminta pertolongan, sedikit pun tidak diendahkan. Namun untuk terjun ke lautan api bagi membuktikan cinta pada kekasihnya sanggup diredahi. Lalu bagaimana sikap tolong menolong, kasih mengasihi terhadap saudara-saudara yang lain dapat diamalkan jika segala perbuatan baik hanya untuk orang tertentu dan hanya di dasari oleh material semata-mata. Kerana itu manusia kini miskin cinta.


Cinta itu terhad untuk harta, jawatan, wanita, dan kaum kerabat. Kisah peperangan di Negara jiran tidak dihiraukan kerana; cinta hanya terhadap Negara sendiri dan semangat perkauman yang menebal. Perompak berjaya melarikan beg tangan seorang mak cik dan kita melihat dari jauh kerana; itu bukan makcik kita atau wajah mak cik itu tidak seiras Siti Nurhaliza. Ingatlah ketika jenazah kita di suatu hari nanti hendak dikebumikan. Siapa yang membantu. Saudara kita yang tidak pernah kita kasihi di dunia dahulu yang menurunkan kita ke liang lahad. Dahulu kita sibuk menghabiskan masa dengan mengira nilai wang emas, sibuk dengan kekasih dari awal pagi hingga malam. Lalu, di manakah benda yang kita cintai itu pada waktu ini. Pangkat yang kita cintai kini dijawat orang lain. Harta yang diusahakan siang dan malam kini menjadi warisan untuk anak-anak.


Ingatlah Allah tidak pernah membataskan sifat arRahmannya pada manusia tertentu. Nabi saw juga tidak datang hanya untuk sebuah kaum atau bangsa sahaja. Maka bersahabatlah dan sebarkanlah silaturrahim kepada semua manusia. Jangan kerana cinta harta, pangkat, dan kekasih, kita tidak berpeluang untuk mencintai yang lainnya.

Read more...

  © Blogger templates Romantico by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP